Friday, June 22, 2012

PBB Bekenu Sokong Pencalonan Semula Ahmad Lai di Sibuti!!

BEKENU, 19 Jun 2012 - Satu perjumpaan khas PBB Bekenu telah berlangsung pada hari Selasa yang lalu.  Menurut minit yang diterima, agenda utama adalah untuk menentukan sokongan terhadap wakil rakyat di P.218 Sibuti.  

Perjumpaan yang dihadiri oleh badan induk, pemuda, wanita dan ketua-ketua ranting telah sebulat suara bersetuju untuk menyokong pencalonan semula YB Haji Ahmad Lai di Sibuti.  Ini berdasarkan perkhidmatan beliau yang begitu cemerlang dalam membangunkan kawasan Sibuti.  Rakyat juga sangat berpuas hati dengan prestasi beliau dan berharap agar perkhidmatan beliau diteruskan serta dicalonkan semula untuk penggal yang kedua menjelang PRU13 kelak.  

PBB Bekenu juga berharap agar hasrat mereka tidak diabaikan kerana ini akan memecah-belahkan parti sekiranya calon yang lain diketengahkan.  Pencapaian YB Ahmad Lai setakat ini memang memberangsangkan dan semua akar umbi PBB di Bekenu menyokong beliau untuk bertanding di kerusi Parlimen P.218 Sibuti.

Menurut aduan yang diterima, ahli parti dan penduduk tempatan tidak mahu menerima calon luar yang kononnya mengaku anak tempatan.  Mereka tidak mahu wakil rakyat yang baru tetapi berharap agar pihak atasan PBB mendengar kehendak dan hasrat mereka yang begitu setia kepada Barisan Nasional.  

PRN 2011 yang lepas telah menguji kesetiaan saudara mereka di Lambir dan kali ini mereka berharap agar wakil rakyat pilihan hati mereka dikekalkan.  Ini kerana mereka sedar YB Haji Ahmad Lai bukan sahaja seorang Yang Berhormat namun dia adalah seorang Yang Berkhidmat kepada penduduk Sibuti tanpa mengenal penat dan lelah.  

Sekiranya benar PAS akan menurunkan calon mereka iaitu Datuk Salleh Jaafarudin maka, YB Ahmad Lai merupakan calon yang berpengalaman untuk mempertahankan kubu BN di Sibuti.  Janganlah BN menjadi seperti perumpamaan apabila mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda