BR1M bukti kemampuan BN
Oleh ASHLEY ANGGAT
pengarang@utusan.com.my
AHMAD Lai Bujang (tiga dari kiri) bersama sebahagian penerima BR1M pada majlis penyampaian sumbangan RM500 di Dewan Masyarakat Bekenu, Miri, kelmarin.
MIRI 26 Jan. – Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 adalah bukti kerajaan sentiasa menunaikan janji dan komited dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.
Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata, penyerahan bantuan berkenaan juga sebagai bukti kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir dan membangunkan negara.
Menurutnya, setiap apa yang dijanjikan oleh kerajaan akan ditunaikan dan rakyat harus bersabar kerana bantuan serta pembangunan yang dilaksanakan bukannya sesuatu yang boleh datang dalam sekelip mata.
“Sehubungan itu, rakyat jangan sekali-kali terpengaruh dengan propaganda politik pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kerajaan terpaksa meminjam dana dari luar untuk membiayai BR1M.
“Negara kita tidak meminjam dana dari luar untuk membayar BR1M kerana ia adalah hasil daripada sumber kekayaan negara kita sendiri,” katanya pada Majlis Penyampaian BR1M RM500 di Dewan Masyarakat Bekenu kira-kira 40 kilometer dari sini semalam.
Ahmad Lai berkata, bantuan BR1M adalah cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama anggota Kabinetnya ketika bermesyuarat mencari jalan dan perancangan untuk membantu setiap lapisan masyarakat di seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai yang tidak tersenarai sebagai penerima dalam fasa pertama penyerahan BR1M supaya bersabar kerana proses penyerahan bantuan berkenaan akan diteruskan dalam fasa kedua dan ketiga.
“Kerajaan tidak akan berhenti membantu rakyat tidak kira sama ada di kawasan luar bandar serta di pedalaman dan sentiasa menunaikan janji bagi memastikan nasib rakyat di negara ini sentiasa terbela.
“Pemberian BR1M adalah untuk semua lapisan masyarakat dan ini juga bukti kepada keikhlasan kerajaan yang tidak memandang ideologi politik dalam membantu rakyat,” ujarnya.