Wednesday, September 12, 2012

Hasilkan Perkhidmatan Yang Terbaik Untuk Rakyat: Rosey

Penjawat awam yang bekerja erat bersama wakil rakyat akan dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.  

Penjawat awam juga diminta untuk mencerminkan keceriaan dan kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan apabila berurusan dengan rakyat.  Ini akan menjadikan segala urusan menjadi mudah dan perlaksanaan dasar dapat dilakukan dengan ringan.

Hubungan yang erat antara penjawat awam dan wakil rakyat juga dapat melancarkan segala tugas untuk membantu rakyat dengan mudah.  Mereka juga diingatkan untuk menjaga kesihatan dan meningkatkan lagi prestasi demi keluarga dan masyarakat sekitar.
Kerjasama erat permudah khidmat untuk rakyat

Utusan Borneo 12 September 2012, Rabu


JAMU SELERA: Rosey (dua kanan) dan Lily (tiga kanan) bersama-sama menikmati juadah sempena Majlis Ramah-tamah Hari Raya Aidilfitri anjuran SKM di pekarangan Wisma Persekutuan Fasa 2, Miri, semalam.

MIRI: Kecemerlangan kerja yang dipamerkan oleh para penjawat awam di samping kerjasama yang kukuh dan erat sesama mereka, akan menghasilkan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

Pada masa yang sama, ia akan memudahkan lagi tugas-tugas berdepan dengan rakyat dan membantu melancarkan tugas-tugas wakil rakyat, demikian menurut Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga, Rosey Yunus.

“Terima kasih kepada penjawat awam yang menjalankan tugas-tugas mereka dengan cemerlang bukan untuk kepentingan dan prestasi diri tetapi juga untuk keluarga, masyarakat dan wakil rakyat di kawasan mereka.

“Tanpa anda sedar, kerjasama di antara penjawat awam akan memudahkan lagi tugas-tugas wakil rakyat kerana ia membantu dalam melancarkan segala penganjuran program dan projek membabitkan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

Rosey memberitahu demikian semasa berucap pada majlis perasmian Program Kesedaran Berkoperasi dan Majlis Ramah-tamah Hari Raya Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Bahagian Miri/Bintulu, bertempat di pekarangan bangunan Wisma Persekutuan Fasa 2 di sini, semalam.

Dalam pada itu, menurut Rosey, penjawat awam perlu melihat urusniaga dengan rakyat dan pelanggan mengikut perspektif baharu dengan mengambil kira generasi pelanggan yang lebih bermaklumat, profesional serta mempunyai pengharapan yang berbeza ke atas perkhidmatan yang disampaikan oleh mereka.

“Penjawat awam perlu melakukan perubahan selaras dengan takrifan baharu ke atas konsep urus niaga dengan rakyat, melalui penyediaan perkhidmatan yang bukan sahaja dapat memenuhi kepuasan pelanggan malah melangkaui jangkaan mereka,” katanya.

Beliau memberitahu organisasi sektor awam yang gemilang juga perlu mempunyai ciri-ciri responsif dan peka dengan kehendak pelanggan, mempamerkan imej yang bersih, selain komited dan mengutamakan prestasi.

Rosey dalam ucapannya juga mengingatkan golongan penjawat awam supaya sentiasa memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik, agar dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik, demi diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Katanya, jika kesihatan mereka terjejas maka ia juga boleh mempengaruhi prestasi kerja mereka dan juga akan menyusahkan keluarga yang bergantung kepada mereka.

Mengenai majlis ramah-tamah yang dianjurkan semalam, Rosey berharap ia akan diteruskan pada masa akan datang untuk dijadikan wadah bagi memupuk persefahaman, keharmonian dan saling menghormati di antara sesama rakyat berbilang kaum di negara ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Penolong Pengarah Bahagian SKM Bahagian Miri/Bintulu merangkap Pengerusi Wisma Persekutuan Fasa 2 Miri, Lily Fawziah Adnan serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan yang berpejabat di bangunan wisma berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda