Thursday, August 23, 2012

Pandelela Penerima Johan Bintang Kenyalang Paling Muda di Sarawak!


Kejayaan Pandelela yang dapat meraih pingat gangsa semasa Temasya Sukan Olimpik di London yang lalu telah mendapat pengiktirafan daripada Gabenor negeri Sarawak.

Beliau telah menerima penganugerahan pingat Johan Bintang Kenyalang dan juga biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajiannya ke Australia.

Ini adalah contoh terbaik di mana anak daripada keluarga orang susah yang berjaya dengan berkat usaha dan ketekunan yang gigih untuk meraih kejayaan!

Semoga lebih ramai lagi anak Sarawak yang akan bangkit untuk mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pandelela menerima JBK
by Sandy Mark Luna.

Utusan Borneo 22 Ogos 2012, Rabu


JASA DIHARGAI: Tun Salahuddin (tiga kiri) serta isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah (tengah) merakam kenangan bersama Pandelela (dua kanan), Taib (dua kiri) Pamg (kiri), Ragad (tiga kanan) dan Hartini (kanan).

KUCHING: Pandelela Rinong Pamg menerima pingat Johan Bintang Kenyalang (JBK) daripada Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin semalam.Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu merupakan penerima pingat JBK termuda di Sarawak, selepas berjaya membawa balik pingat gangsa pada Sukan Olimpik yang lalu dalam acara terjun.

“Masa nak pergi ambil (anugerah) tadi saya rasa sangat gementar, malah lebih gementar daripada terjun sebab saya pertama kali mendapat penghargaan sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Penyampaian Pingat di Astana Negeri, semalam.

Beliau turut ditemani oleh ibu bapanya, Pamg Joheng dan Hartini Lamim serta dua atlet kebangsaan Traisy Vivien Tukiet dan Bryan Nickson Lomas.

Hadir sama, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

Pandelela turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Salahuddin atas penghormatan tersebut.

“Ia juga merupakan kebanggaan keluarga saya dan warga Bidayuh,” katanya.

Mengenai biasiswa daripada kerajaan negeri, katanya beliau hanya akan melanjutkan pelajaran setelah berjaya mendapatkan semula fokus terhadap pelajaran.

“Tumpuan sekarang masih kepada latihan. Tetapi memandangkan selepas Olimpik (lalu) tidak ada sukan lain sehingga tahun depan, saya dapat fokus kepada pelajaran,” katanya.

Ditanya beliau akan melanjutkan pelajaran dalam bidang apa, Pandelela sekadar memberitahu:
“Tidak tahu. Belum kenal pasti apa yang saya minat tetapi apa yang pasti, saya tidak suka Matematik Tambahan,” katanya secara berseloroh.

Sementara itu, ayahnya Pamg memberitahu bahawa mereka sekeluarga amat berbesar hati atas anugerah yang dikurniakan Tun Salahuddin.

“Sebagai bapa, sudah tentu saya berasa amat berbangga, lebih-lebih lagi ini kali pertama mendapat anugerah,” katanya.

Manakala Menteri Muda Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan pencapaian Pandelela merupakan bukti ‘tidak ada apa yang mustahil’, sekiranya seseorang berbekalkan kecekalan untuk berjaya.

“Daripada maklumat yang saya dapat, Pandelela berasal daripada keluarga yang susah tetapi dengan kecekalan dan azam tinggi, beliau kini menjadi seorang yang berjaya.

“Saya berharap golongan belia boleh mendapat inspirasi daripada beliau lebih-lebih lagi setelah beliau diberi penghargaan dalam bentuk insentif oleh kerajaan negeri,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda