Wednesday, August 15, 2012

Badan Korporat Turut Sama Menjayakan Tanggunjawab Sosial Menjelang Ramadan

Ahli Parlimen Sibuti telah menyerahkan sumbangan kepada ibu tunggal dan pelajar-pelajar Sekolah Tunas Bakti Lambir di Hotel Dynasty.  Ini adalah majlis anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Hotel Dynasty sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat mereka untuk meringankan beban golongan sasar sempena bulan puasa. 

Semoga lebih banyak lagi badan korporat yang akan turun padang untuk menyempurnakan tanggungjawab sosial korporat mereka.
Kebajikan rakyat sentiasa jadi keutamaan kerajaan

by Mohd Norhadie Sahari dan Mohd Achil Norrlatep. Utusan Borneo 15 Ogos 2012, Wednesday
REZEKI RAYA: Ahmad Lai (dua kiri) dan Tony Pui (kiri sekali) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang golongan kurang berkemampuan di pekarangan Hotel Dynasty Miri semalam.
MIRI- Semua bentuk bantuan yang disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan membuktikan kerajaan sangat prihatin dalam menjaga hal ehwal dan kebajikan rakyat.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata, kerajaan tidak pernah berhenti untuk menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan sebaliknya merencanakan pelbagai program untuk mereka.

“Kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan untuk mengurangkan beban rakyat supaya golongan ini tidak berasa terasing sebaliknya turut sama menikmati bantuan kerajaan,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Hari Raya di sini, pagi semalam.

Beliau memberitahu, kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendekati golongan kurang berkemampuan dan aktif mendaftar pemohon baharu yang layak menerima bantuan kerajaan.

“JKM di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Tun Razak sentiasa mencari jalan dan kaedah yang sesuai supaya nasib golongan tidak berkemampuan ini terus mendapat pembelaan,” katanya.

Pada masa sama, keprihatinan badan korporat dalam membantu golongan kurang berkemampuan seharusnya dipuji bahkan amalan itu harus dipraktikkan oleh semua pihak.

“Hotel Dynasty Miri contohnya telah mengadakan program ini sebanyak 14 kali sebagai tanggungjawab sosial mereka membantu golongan kurang berkemampuan,” ujarnya.

Ahmad Lai menjelaskan, keprihatinan badan korporat membuktikan bahawa dasar-dasar kerajaan iaitu mengutamakan kebajikan rakyat dan menunaikan janji disokong sepenuhnya pihak terbabit.

“Bantuan ini diharapkan dapat menceriakan kumpulan sasar terutamanya dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya kelak,” katanya.

Sementara itu, seramai 150 penerima bantuan terdiri daripada ibu tunggal dan pelajar-pelajar Sekolah Tunas Bakti Lambir mendapat sumbangan hamper, duit raya dan barangan keperluan asas.

Hadir sama ialah Residen Miri, Antonio Kahti Galis, Pengarah Urusan Hotel Dynasty Miri, Tony Pui dan Ketua JKM Cawangan Miri, Goh Yong Kiet.

Sementara itu, Tony berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan adalah anjuran bersama dengan JKM Miri.

“Pihak hotel sentiasa berbesar hati untuk menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat Miri terutamanya kepada golongan tidak bernasib baik apabila tiba musim perayaan,” katanya.

Perayaan-perayaan dimaksudkan termasuk Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Pada kali ini, seramai 150 orang menerima sumbangan termasuk duit raya, hamper dan ayam seberat 1.5 kilogram.

“Melalui kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua,” jelas beliau.

Sementara itu, Goh memberitahu salah satu objektif program berkenaan adalah untuk meraikan golongan kurang berkemampuan yang bakal menyambut Hari raya Aidilfitri.

Katanya, pihaknya sering membantu golongan berkenaan untuk meringankan beban mereka.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda