Thursday, August 16, 2012

KKWPK Menjadi Mangkin Kebajikan Masyarakat Sarawak


Penubuhan Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga adalah tepat pada masanya.

Program berkaitan kebajikan kini dapat diselaraskan ke seluruh negeri dan merangkumi setiap pelusuk ceruk dan daerah di Sarawak.

Ianya sejajar dengan falsafah Penginsanan Perkhidmatan Kebajikan yang memantapkan hala tuju kementerian.

Di samping itu, institusi keluarga turut diperkasakan bagi membangunkan jati diri masyarakat.


Program kebajikan rakyat Sarawak semakin mantap

Utusan Borneo 16 Ogos 2012, Khamis

Penubuhan KKWPK perkasa mekanisme pelaksanaan agensi untuk membantu masyarakat: Lawson

Oleh Mastura Ismail

LIMBANG: Penubuhan Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) pada November lepas berjaya memantapkan lagi hala tuju kementerian serta mengukuhkan program berkaitan kebajikan rakyat di negeri ini sejajar dengan falsafah Penginsanan Perkhidmatan Kebajikan.

Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat berkata, KKWPK membantu dalam menghadapi banyak cabaran untuk merangka dan memantapkan lagi mekanisme pelaksanaan program-program di peringkat agensi-agensi terbabit.

Beliau berkata, berasaskan falsafah tersebut kementerian telah mewujudkan pelbagai program bertujuan untuk pengupayaan dan pemerkasaan, pengukuhan institusi keluarga, pemantapan pendidikan serta pembangunan jati diri masyarakat.

“Penubuhan kementerian baharu ini membuktikan kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan semua golongan serta lapisan masyarakat yang memerlukan mendapat bantuan selayaknya,” katanya pada Program Sejambak kasih 2012 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak semalam.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Maria Hasman, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Aziah Saruji dan Timbalan Wali Kota Waslee Tuah.

Lawson berkata, banyak bantuan tidak dapat diberikan kepada pihak yang memerlukan berikutan timbulnya pelbagai kekangan.

“Adalah amat digalakkan orang perseorangan atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada ahli masyarakat yang memerlukan kerana kebajikan adalah tanggungjawab semua,” jelas beliau.

“Ini penting kerana memang ada dalam masyarakat kita mereka yang memerlukan bantuan termasuk golongan kurang bernasib baik, mereka yang sakit, warga emas atau ibu tunggal yang ramai anak tetapi tidak mampu bekerja,” tambahnya.

Katanya lagi dalam usaha penambahbaikan fungsi JKM, jabatan bukan hanya berperanan menyalurkan bantuan kewangan tetapi diperluaskan kepada kebajikan ekonomi, sosial, budaya dan kebajikan meningkatkan kemahiran melalui pendidikan.

JKM, menurut beliau, menyediakan perkhidmatan sistem sokongan seperti TASKA bagi ibu bapa yang sama-sama bekerja dan Jawatankuasa Kebajikan Kanak-kanak Daerah (JKKD) Pusat Perkhidmatan Warga Emas, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, Pusat Aktiviti Kanak-kanak bagi membantu jabatan dalam menganjurkan aktiviti.

“Skop perkhidmatan JKM pula berdasarkan peruntukan Perlindungan Warga Emas, Pemulihan Pengemis, Pesalah Muda, Kaunseling dan Psikologi, Perlindungan dan Pemulihan Kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya,” jelasnya.

Tambah Lawson, kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat, justeru masyarakat memberi input kepada kementerian bagi membantu mengenal pasti mereka yang layak dan patut mendapat bantuan tersebut.

Menyentuh mengenai Program Sejambak kasih 2012, seramai 200 orang di daerah ini akan menerima sumbangan tersebut sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi Bahagian Limbang, katanya, seramai 1,352 orang penerima bantuan JKM Sarawak menerima sumbangan tersebut.

“Keseluruhannya terdapat seramai 14,913 penerima bantuan di seluruh Sarawak menerima sumbangan ini.

“Usaha ini selari dengan penjenamaan semula perkhidmatan JKM yang telah memperkenalkan kaedah terbaharu dalam penyampaian sumbangan sempena Hari Raya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda