Tuesday, August 14, 2012

Ahli Parlimen Sibuti Memberi Sumbangan Kepada Golongan Kurang Upaya Sempena Aidilfitri 2012

Penduduk di sekitar Parlimen Sibuti yang kurang berupaya pada tahun ini sangat bertuah kerana menerima sumbangan duit raya daripada Ihsan Perdana Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).  Sumbangan ini disampaikan oleh YB Ahmad Lai, ahli Parlimen Sibuti sempena Majlis Berbuka Puasa Pusat Khidmat Wakil Rakyat P.218.

Ini menunjukkan bahawa budaya saling bantu-membantu bukan tertakluk kepada kerajaan tetapi juga kepada syarikat berkaitan kerajaan seperti 1MDB.  Ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan anak yatim untuk meringankan beban mereka menjelang hari raya ini.  
Rakyat Malaysia sangat bertuah

by Mohd Norhadie Sahari. Utusan Borneo 14 Ogos 2012, Selasa

TIDAK DILUPAKAN: Ahmad Lai (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima golongan kurang upaya sambil disaksikan oleh Zahari (dua kiri).

MIRI: Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana bukan sahaja mempunyai kerajaan yang prihatin dalam menjaga kebajikan rakyat, malah budaya itu turut diamalkan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata, ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi gagasan 1Malaysia telah memberi manfaat dan impak besar kepada lebih 28 juta rakyat di negara ini.

“Bukan sahaja kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan keperluan dan menjaga kebajikan rakyat, malah syarikat-syarikat besar turut menyokong dasar kerajaan menerusi program di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat,” katanya pada Majlis Ihsan Ramadan dan Aidilfitri, kelmarin.

Beliau memberitahu, kerajaan bekerjasama dengan GLC untuk membantu kumpulan sasar yang memerlukan dengan memberikan sedikit sebanyak sumbangan bagi mengurangkan beban mereka.

“Program seperti ini telah membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan tidak pernah menidakkan keperluan mereka, sebaliknya sentiasa mencari inisiatif untuk membantu kumpulan sasar pelbagai peringkat,” ujarnya.

Beliau turut memuji Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana telah melebarkan sayap program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri ke Sarawak khasnya ke kawasan Parlimen Sibuti.

“Keempat-empat kumpulan sasar iaitu ibu tunggal dan warga emas, orang kurang kemampuan, anak yatim dan orang kurang upaya di Sibuti mendapat manfaat dan dibantu menerusi program ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu program itu turut merapatkan hubungan dalam kalangan pemimpin kerajaan bersama rakyat setempat yang berbeza kaum dan agama.

Beliau memberitahu, tidak semua rakyat di negara ini hidup senang sebaliknya terdapat juga kumpulan-kumpulan tertentu yang masih hidup dalam keadaan daif dan memerlukan perhatian kerajaan.

“Kita bertuah dan harus bersyukur kerana dapat menikmati makanan yang banyak di atas meja sebaliknya sesetengah pihak yang tidak berkemampuan hanya makan berlaukkan air teh,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihatkan rakyat supaya membantu kerajaan dengan mengekalkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia akan datang.

“Sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk rakyat membantu kerajaan dan terus menyokong kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang supaya kesinambungan kemajuan terus terlaksana,” katanya.

Beliau berharap agar rakyat tidak tersalah memilih kerajaan pada PRU kerana jika ia berlaku, maka sama depan mereka akan tergadai bahkan semua program pembangunan yang dirancang kerajaan juga akan tergendala.

Hadir sama ialah Ketua Koordinator Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri Datuk Zahari Sulaiman, Residen Miri Antonio Kahti dan Pegawai Daerah Miri Boniface Intang Apat.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda