Wednesday, August 8, 2012

Miri Jangan Dilabel Sebagai Bandar Raya Koboi!!


Penemuan revolver tidak bermakna Miri adalah bandar koboi.  Ini adalah kes terpencil walaupun pernah ada kes menembak yang menyebabkan kematian pada tahun 2006.   Walaupun penemuan revolver ini adalah kes terulung di Sarawak terutama di Miri, namun pihak polis tidak mahu Miri dikatakan sebagai tidak selamat.  

Amerika pun memiliki kes tembak-menembak yang lebih tinggi daripada di Sarawak ini, tetapi warga dunia tetap menyatakan Amerika selamat untuk dilawat.   


Miri bukan bandar koboi

by Rosemaria Buma. Utusan Borneo 8 Ogos 2012, Rabu

TEGAS: Acryl (kiri) ketika ditemui wartawan semasa melawat bazar Ramadan di Miri semalam. Turut kelihatan Mun.

Penggunaan Revolver dalam kes tembak bukan bukti Miri tidak selamat

MIRI: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan kepada orang ramai agar tidak menjadikan penemuan pistol jenis Revolver dalam insiden tembak mati di sini baru-baru ini untuk melabel Miri sebagai sebuah bandar raya koboi.

Katanya adalah tidak adil untuk menilai Miri sebagai sebuah bandar raya koboi atau tidak selamat untuk didiami meskipun penggunaan Revolver merupakan satu penemuan baharu dalam rekod jenayah di negeri ini amnya dan Miri khasnya.

“Jangan terlalu teruja untuk melabelkan bandar raya kita sebagai tidak selamat.

“Berbanding di Amerika, kejadian tembak boleh berlaku di mana sahaja termasuk di sekolah dan panggung, tapi orang masih kata Amerika terbaik malah masih ramai yang bangga bila pergi ke sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan semasa melawat tapak bazar Ramadan berhampiran Stadium Tertutup Miri di sini petang semalam.

Dalam pada itu katanya, proses pengumpulan data oleh pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyiasat ketiga-tiga kes tembak mati yang berlaku di negeri ini baru-baru ini berjalan lancar.

Pun begitu menurut Acryl, masih belum ada sebarang petunjuk yang dapat memberikan gambaran ada-nya kaitan atau pertalian di antara ketiga-tiga kes tersebut.

“Setakat ini, kita tidak boleh dedahkan hasil siasatan kerana ia agak sensitif dan siasatan dilakukan secara senyap dan penuh ketelitian agar tidak menjejaskan proses siasatan,” katanya sambil menambah pihak polis amat berharap antara ketiga-tiga kes ini, biarlah tiada kaitan langsung dan berdiri sendiri kerana jika sebaliknya, ia agak berbahaya.

Pada masa sama katanya, pasukan khas terbabit juga perlu mengambil keterangan daripada para saksi bagi mendapatkan gambaran jelas tentang kejadian itu sekali gus memberikan petunjuk.

“Setiap dua minggu saya akan diberikan taklimat tentang perkembangan siasatan kes tersebut dan kita akan melakukan siasatan daripada segenap aspek memandangkan terlalu banyak spekulasi yang dibuat orang awam berhubung kes tembak mati terbaru di sini,” katanya sambil memberitahu tiada tempoh masa ditentukan untuk siasatan ketiga-tiga kes tersebut.

Menurut beliau, kes tembak mati terakhir berlaku di Miri ialah pada 2006, yang mencatat dua kes dengan senjata api jenis senapang patah digunakan dalam kedua-dua insiden itu.

Sementara itu, menyentuh lawatan beliau ke bazar Ramadan terbabit, Acryl menjelaskan ia juga merupakan salah satu program lawatannya ke semua daerah di negeri ini.

Di samping itu, ia juga merupakan walkabout untuk memberi kesedaran jenayah kepada masyarakat dan anggota polis.

“Saya sentiasa tegaskan kepada para anggota agar sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan tak guna kalau kita (polis) sekadar tegaskan tetapi tidak tunjukkan nilai positif,” ujar beliau.

Turut mengiringi beliau semasa lawatan itu ialah Ketua Polis Daerah Miri ACP Mun Kok Keong.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda