Wednesday, August 8, 2012

Rakyat Masih Tolak Mohon Maaf Manoharam!!

Rakyat masih bengang dengan Manoharam yang mengutuk wira negara DLCW.   Walaupun beliau sudah meminta maaf tetapi suara rakyat Malaysia masih enggan menerima apabila wira yang mereka sayang dan sanjungi dikutuk! 
Rakyat tolak permohonan maaf
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
Para peminat yang hadir untuk menyambut kepulangan Jaguh Badminton Negara, Datuk Lee Chong Wei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Nampaknya bukan mudah bagi rakyat Malaysia untuk memaafkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan atas keceluparannya mengeluarkan kenyataan memperlekehkan semangat juang pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di temasya Olimpik London.

Walaupun wakil rakyat DAP itu telah membuat permohonan maaf terhadap Chong Wei dan keluarganya kerana tindakan memuat naik kenyataan yang menimbulkan kemarahan banyak pihak menerusi Twitter semalam, rata-rata rakyat Malaysia tidak boleh menerima sikap Manoharan itu.

Di laman sosial Facebook milik Manoharan, seorang rakyat Malaysia, Amirthanathan Anthony berkata:

"Anda sepatutnya memikirkan kesan sebelum membuat kenyataan itu. Anda bukan sahaja Manoharan Malayalam tetapi juga wakil rakyat sebuah parti. Apabila anda membuka mulut, tidakkah anda tahu ia juga akan beri kesan kepada parti. Kerosakan telah berlaku dan saya tidak pasti jika Chong Wei dan keluarga serta orang ramai akan memaafkan anda."

ADUN DAP itu semalam memuat naik beberapa kenyataan menerusi Twitter yang mempersenda dan memperlekehkan kekalahan Chong Wei ketika menentang pemain China, Lin Dan di sukan Olimpik London untuk merebut pingat emas.

Tindakan itu menyebabkan rakyat Malaysia berang dan kesal dengan sikap pemimpin pakatan pembangkang itu yang cuba mempolitikkan sukan walaupun Chong Wei telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi pingat emas.

Laman Facebook Kami Tuntut Manoharan Mohon Maaf Kepada Lee Chong Wei pula semakin panas apabila rata-rata rakyat Malaysia yang memberi komen masih marah dengan kenyataan Manoharan dan tidak dapat menerima permohonan maafnya hari ini.

Malah, mereka menuntut agar Manoharan membuat sidang akhbar rasmi bagi menyatakan permohonan maaf terhadap Chong Wei dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong penuh semangat juang pemain badminton itu.

Muhammad Alif Azrai Norizan di laman itu berkata: "Saya tuntut Manoharan mohon maaf bukan sahaja kepada Lee Chong Wei malah kepada semua 28 juta rakyat Malaysia yang beri sokongan padu kepada beliau."

Ada juga yang mendesak supaya Manoharan bersemuka dengan Chong Wei bagi meminta maaf dan bukan sekadar membuat kenyataan yang menyesali tindakannya sebelum ini menerusi Twitter sahaja.

Amelia Abiden pula berkata, sekiranya Manoharan berasakan beliau hebat, beliau wajar membuat kenyataan maaf secara terbuka dan berdepan dengan Chong Wei sendiri.

Mohd. Sorfy pula mempersoalkan tindakan Manoharan yang hanya memohon maaf melalui Twitter dan menggesa wakil rakyat DAP itu membuat sidang akhbar serta bukan sekadar memohon maaf kepada Chong Wei tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia yang 'naik hantu' gara-gara kenyataan Manoharan itu.

Kim Shidee pula menganggap permohonan maaf Manoharan itu tidak boleh diterima kerana orang yang boleh dimaafkan adalah mereka yang melakukan kesilapan tetapi Manoharan bukan melakukan kesilapan sebaliknya sengaja mencipta suasana tidak baik memandangkan ia bukan kali pertama wakil rakyat DAP itu melakukan perkara seperti itu.

Katanya, sebelum ini Manoharan sudah berkali-kali membuat kenyataan mempersendakan banyak pihak lain yang jelas menunjukkan beliau mempunyai masalah sikap.

Kaiyan Lee pula berasakan permohonan maaf Manoharan itu tidak ikhlas dan mungkin dilakukan atas desakan pemimpin atasan partinya serta takut dengan desakan rakyat Malaysia sendiri.

Daeng Hakim pula berkata: "Sepatutnya seorang ADUN macam dia tunjuk contoh yang baik. Jangan disebabkan kepentingan politik, sukan pun nak dijadikan sasaran untuk berpolitik. Sepatutnya sukan yang dapat menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, pangkat, agama, fahaman mahupun ideologi.

"Sepatutnya ADUN macam dia lebih peka terhadap sensitiviti rakyat Malaysia yang penuh dengan semangat kewarganegaraan." katanya.

Dalam perkembangan sama, beberapa rakan Twitter yang kecewa dengan tindakan Manoharan sebelum ini menyifatkan permohonan maaf wakil rakyat DAP itu sudah terlambat.

M. Anantha Saravana ketika membalas kenyataan yang dimuat naik Manoharan itu berkata: "Sudah terlalu lambat untuk memohon maaf. Orang ramai sudah tahu perangai pemimpin pakatan pembangkang."

Thiaga Rajan pula dengan ringkas membalas kenyataan Manoharan itu dengan bertanya: "Mohon maaf lagi??? Sudahlah YB" sementara NurAkmalAzis pula menyifatkan permohonan maaf Manoharan itu sebagai sesuatu yang palsu.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda