Tuesday, May 29, 2012

Spekulasi Liar Cuma Cabaran Kepada Hj Ahmad Lai!?!?

Ahmad Lai menganggap spekulasi yang mengatakan beliau tidak bertanding semasa PRU13 kelak adalah tidak berasas sama sekali!  Dia sedar menjelang musim pilihan raya memang terdapat orang yang tidak cukup tidur kerana mereka memikirkan cara untuk menjatuhkan calon dan cantas-mencantas di dalam parti.  Pihak lawan memang tiada tandingan di Sarawak kerana perlawanan yang paling sengit adalah orang bawahan yang ingin menjadi calon payung terjun dan merebut kerusi Ketua Cawangan untuk bertanding dan menjadi wakil rakyat.  

Berikut adalah nama-nama yang berlegar di Sibuti untuk mencatas dan menggantikan calon yang sedia ada.

1) Hj Julani bin Mohtar
2) Dr Julaihi bin Bujang
3) Datuk Safri bin Datuk Hj Abdillah 

Selamat berjuang kepada yang masih bermimpi untuk menjadi calon Sibuti tetapi tidak pernah turun padang dan cuma berharap orang lain untuk melobi bagi pihak mereka.  Semoga pihak Majlis Tertinggi Barisan Nasional akan meletakkan calon berjiwa rakyat dan bukannya setakat calon yang mahu menjadi wakil rakyat glamer semata-mata!   
Spekulasi kaitkan Ahmad Lai tidak bertanding PRU13 tidak berasas

Posted on May 29, 2012, Tuesday

MIRI: Spekulasi dan tohmahan liar yang mengaitkan penyandang kerusi Parlimen P218 Sibuti Ahmad Lai Bujang tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak adalah tidak berasas.

Beliau memberitahu, semua spekulasi liar yang disebarkan melalui laman sosial seperti Facebook serta disebarkan dari mulut ke mulut adalah strategi pihak tertentu untuk meracuni pemikiran rakyat.

“Jangan dengar semua spekulasi liar dan tohmahan tidak berasas yang dikeluarkan pihak tertentu kerana keputusan siapa calon sebenar pada PRU kelak terletak di tangan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Borneo semalam selepas menyampaikan perutusan Hari Gawai 2012 di konti Radio Televisyen Malaysia (RTM) Miri semalam.

Beliau memberitahu, spekulasi sedemikian sudah lama tersebar lebih-lebih pada musim pilihan raya dan rakyat setempat tidak perlu mendengar spekulasi pihak berkepentingan.

“Sekarang adalah musim pilihan raya, tidak mustahil kita mendengar ramai pihak yang cuba melobi untuk bertanding pada pilihan raya kelak dengan mengeluarkan kenyataan tidak berasas,” jelasnya.

Menurutnya, selagi keputusan nama calon pada PRU kelak belum diumumkan, maka spekulasi liar sedemikian akan terus berkumandang dalam laman-laman sosial.

“Kita menasihatkan supaya rakyat Sibuti tidak mudah mendengar dakwaan yang dikeluarkan dalam laman-laman sosial kerana kebanyakannya adalah palsu dan tidak tepat,” katanya.

Menurutnya, ada  sesetengah pihak yang cuba menjadikan laman sosial sebagai saluran untuk mengkritik kerajaan termasuk menyerang secara peribadi calon yang bakal bertanding pada PRU.

“Apa yang penting ialah sebagai wakil rakyat Barisan Nasional, saya akan terus menabur khidmat kepada rakyat di konstituensi Sibuti dan segala spekulasi liar terbabit hanya satu cabaran kepada saya,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga menasihatkan masyarakat Iban yang pulang ke kampung sempena Gawai Dayak ini supaya berhati-hati ketika berada di jalan raya.

“Saya mengucapkan selamat Hari Gawai kepada semua masyarakat Iban dan semoga perayaan ini mampu mendekatkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.

Beliau juga berharap masyarakat Iban terus menumpukan pendidikan anak-anak kerana hanya melalui pendidikan sahaja kemajuan dan pembangunan Sarawak dapat diteruskan oleh generasi muda. 

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda