Friday, March 22, 2013

Adeela - Pelajar Melayu Tunggal Sekolah Cina Raih 10 A+ Dalam SPM 2012

Tahniah kepada Doktor Abdul Aziz bin Abdul Rahim yang merupakan doktor pakar ortodontik gigi dan terkenal di Miri.  Beliau telah mengatasi paradigma dengan menghantar anak beliau ke SMK Chung Hua Miri yang merupakan sekolah berbangsa Cina.  Hasilnya anak beliau iaitu Adeela telah berjaya meraih A+ dalam keputusan SPM 2012.  Adeela merupakan satu-satunya murid Melayu di SMK Chung Hua.  

Adeela juga bakal mengikut jejak langkah bapanya untuk melanjutkan pelajaran ke UK dan menjadi seorang lagi doktor pakar gigi di Miri. 

Tahniah juga kepada semua pelajar lepasan SPM 2012 di atas pencapaian mereka!!
Adeela pelajar Melayu tunggal SMK Chung Hua Miri raih semua A+
 
MIRI (22 Mac 2013 - Utusan Borneo) : Bercita-cita meneruskan kerjaya ayahnya sebagai seorang doktor gigi, merupakan faktor utama kejayaan Adeela Abdul Aziz, yang memperolehi keputusan cemerlang 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.

Adeela yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang tersebut.

“Saya tidak menjangka akan memperolehi straight A+ kerana pada percubaan SPM saya hanya memperolehi 9A+ dan 1A sahaja, tidak sangka pula akan mendapat keputusan sebegini.

“Perasaan takut turut ada dan saya bersyukur kerana mendapat keputusan yang baik.

“Ini adalah hasil usaha semua pihak termasuk para guru dan ibu bapa yang selama ini banyak membantu dan menyokong saya dalam mengulang kaji pelajaran,” katanya ketika ditemui semalam.

Adeela yang merupakan satu-satunya pelajar Melayu yang memperolehi kesemua A+ kini sedang melanjutkan pengajian A Level di Taylors College, Kuala Lumpur.

Beliau turut bercita-cita akan meneruskan pengajian di peringkat tertinggi dalam bidang pergigian di United Kingdom kelak.

Tiga lagi pelajar SMK Chung Hua Miri yang turut berkongsi kejayaan bersama Adeela dengan memperolehi keputusan semua A+ dalam mata pelajaran SPM ialah Adelyn Lau Kee Ka, Brian Chieng Kai Hieng dan Liew Shau Chieng.

Selain empat pelajar tersebut, turut berkongsi keputusan kesemua A dalam semua subjek ialah 42 pelajar dengan keputusan 11A, 10A dan 9A.

Manakala 11 pelajar mendapat 10A, 46 pelajar (9A), 24 pelajar (8A) dan 28 lagi (7A).

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting ketika mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang mengambil keputusan SPM 2012 gembira dengan pencapaian yang diperolehi pelajar sekolah terbabit.

Katanya sokongan, bimbingan dan galakan ibu bapa serta warga sekolah merupakan antara kriteria penting bagi seseorang pelajar untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran.

“Ibu bapa, penjaga dan warga sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” jelasnya ketika ditemui.

Ting yang juga penasihat undang-undang bagi pihak Pengurusan Lembaga Sekolah terbabit, memberitahu bahawa kecemerlangan yang diperolehi pelajar bukan sahaja hasil daripada sokongan semua pihak, tetapi pelajar sendiri turut memainkan peranan dalam menentukan masa depan masing-masing.

“Selain suasana sekolah dan rumah yang selesa untuk mengulang kaji pelajaran, pelajar juga berperanan dalam memastikan kerjaya yang dipilih mereka,” ujarnya sambil berterima kasih terhadap usaha serta pengorbanan yang diberikan oleh pelajar dan pihak sekolah dalam memastikan pencapaian terbaik.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda