Monday, March 18, 2013

Kepulangan Effendey Wira Negara Disambut Meriah di Miri!

Kepulangan Lans Koperal Effendey disambut meriah pada siang tadi.  Effendey begitu cekal melawan musuh negara pada 9 Mac yang lalu.  Walau pun sudah ditembak di betis kiri, beliau masih erat memegang senjata berbalas tembakan pada jam 8 malam dalam kegelapan.  
 
Kecekalan beliau itu membuahkan hasil kerana berjaya mengusir pihak pengganas walaupun dia dan temannya mengalami kecederaan.  Namun begitu, kecederaan ini tidak mematahkan semangat juang mereka untuk menentang pengganas Sulu habis-habisan.  
 
Kepulangan beliau siang tadi disambut oleh Ahli Parlimen Sibuti, YB Haji Ahmad Lai, YB Lee Kim Shin, YB Rosey Yunus dan Dato Sebastian Ting yang diketuai oleh Datuk Acryl Sani



POLIS PERKETAT KAWALAN SEMPADAN SARAWAK, SABAH ELAK ANCAMAN

Miri, 18 Mac - Polis Sarawak meningkatkan aspek keselamatan di sempadan berhampiran Sabah di Lawas, Limbang bagi mengelak ancaman serta memastikan penganas Sulu yang menceroboh Sabah tidak menyusup masuk ke negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, antara kawasan yang diperketat kawalan keselamatan ialah di Pusat Kastam dan Kuarantin (CIQ) Merapok di daerah Lawas, Limbang serta di Sindumin Sabah yang terletak berhampiran sempadan Merapok.

"Setakat ini, tiada tanda ancaman akan berlaku di Sarawak namun kita sedang mengawal dengan ketat keselamatan," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Miri hari ini.

Acryl berada di sini bagi menyambut kepulangan, Lans Koperal Effendey Rosli daripada pasukan Platun Tiger Kompeni, Batalion 12, Pasukan Gerak Am (PGA), Miri yang tercedera di betis kiri semasa pertempuran dengan penganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada 9 Mac lalu.

Mengenai kecederaan dialami Effendey, beliau berkata, ini merupakan antara cabaran terpaksa dihadapi anggota keselamatan yang mempertarungkan nyawa demi negara dan mahu masyarakat sentiasa memberi sokongan kepada mereka.

Sementara itu Effendey, 25, ketika ditemui media berkata, kecederaan dialaminya tidak sesekali melunturkan semangat untuk bertugas demi keselamatan negara.

"Saya tidak sabar kembali bertugas selepas kecederaan sembuh sepenuhnya," katanya sejurus selepas tiba di sini.

Beliau berkata sewaktu kejadian pada 8 malam berlarutan sehingga subuh, penganas berbalas tembakan dengan anggota keselamatan yang bertugas dalam keadaan gelap dan ini menyebabkan lokasi musuh sukar dikesan.

"Apabila tertembak walaupun amat sakit, saya masih bersemangat untuk berjuang dan masih memegang senjata," katanya.

Selain Effendey, 25, seorang lagi rakannya Mohd Zairiman Ibrahim, 25, turut tercedera di paha dan betis kaki kanan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sandakan Sabah. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda