Sunday, March 10, 2013

Op Daulat: Budak 12 Tahun Maut Akibat Memasuki Zon Merah!!

Pihak berkuasa telah berkali-kali mengingatkan orang awam agar menjauhi zon merah.  Akibat kedegilan sesetengah pihak, maka seorang budak berumur antara 12  - 15 tahun bersama bapanya yang berumur 30 tahun telah ditembak ketika anggota keselamatan sedang bertugas.  

Berikut adalah sidang media KPN pada petang tadi.  Menurut beliau juga 2 anggota PGA Miri tercedera akibat bertempur dengan pengganas pada lewat 8 malam tadi.  Mereka kini sedang dirawat di hospital berhampiran.  

Sekali lagi diingatkan agar orang awam menjauhi perimeter Op Daulat mahupun Zon Merah!
OP DAULAT: SIDANG MEDIA KETUA POLIS NEGARA 10 MAC 2013 JAM 5.30PM

Operasi di kawasan Kampung Tanduo dan juga Kampung Tanjung Batu telah diteruskan sejak petang semalam di mana pada jam 8 malam tadi telah berlaku kejadian berbalas tembak secara 'sporadic' sehingga awal pagi.

Sewaktu kejadian berbalas tembakan yang bermula pada jam 3 pagi, dua anggota pasukan gerakan am, kedua-duanya berumur 25 tahun telah mendapat kecederaan. Seorang cedera di paha dan seorang lagi di sebelah kaki kirinya. Mereka yang cedera ini hanya dapat dikeluarkan dari kawasan operasi pada jam 8 pagi tadi dan terus dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan dengan menggunakan helikopter polis diiringi oleh seorang pegawai perubatan ATM.

Pada jam 9:45 pagi tadi, sewaktu pasukan keselamatan sedang bergerak menjejaki pengganas di kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis, tiba-tiba muncul satu kumpulan manusia dari kawasan belukar. Kumpulan ini terdiri daripada 2 lelaki dan 3 wanita dewasa. Tindakan menangkap mereka telah segera dijalankan. Ketika proses 'frisking' dilakukan, tiba-tiba kedengaran bunyi pergerakan dari kawasan belukar yang berhampiran. Secara spontan, pasukan keselamatan telah melepaskan tembakan ke arah belukar tersebut. 
Pemeriksaan telah dilakukan serta merta dan di dapati dua orang telah terkena tembakan. Seorang berumur dalam lingkungan tiga puluhan tahun telah cedera di kaki dan seorang lagi budak lelaki dipercayai berumur dalam lingkungan 12 hingga 15 tahun telah meninggal dunia. Selepas dimaklumkan, markas taktikal telah segera menghantar seorang doktor dan Timbalan Perubatan ATM dengan menggunakan kenderaan perisai ke kawasan tersebut.

Semua tangkapan, lelaki yang cedera dan mayat tersebut telah berjaya dibawa keluar.

Kesemua tangkapan ini disiasat di bawah seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Security Offences (Special Measures) Act 2012.

Sementara itu di Semporna, pasukan polis terus menjalankan usaha untuk mengesan dan menangkap pengganas yang terlibat dalam insiden di Kampung Simunul. Pada jam 6:30 pagi ini pasukan polis telah menjalankan satu serbuan di Kampung Perigi, Semporna. Dalam serbuan ini seramai 4 lelaki dewasa telah ditangkap.

Pada jam 8:50 pagi, satu pasukan polis yang lain telah membuat serbuan di kawasan lapang di Batu 1.5, Jalan Semporna - Tawau, Semporna. Di sini, dua orang lelaki dewasa telah berjaya ditangkap.

Kesemua enam orang tangkapan ini kini ditahan untuk disoal siasat di bawah Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Security Offences (Special Measures) Act 2012. Mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas. by UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda