Monday, May 20, 2013

Golden Mile Merancakkan Industri Pelancongan di Pesisir Pantai Miri Sibuti

Semakin banyak idea telah dicurahkan oleh KM Sarawak sempena acara sambutan Hari Miri atau lebih dikenali dengan Hari Bandaraya Miri.  Antaranya adalah mempromosikan aktiviti pelancongan serta menjadikan musim buah-buahan sebagai acara tahunan untuk menarik penggemar buah-buahan tempatan khususnya dari negara jiran kita di Brunei. 

Semoga lebih banyak aktiviti menggalak pelancong akan dijalankan di sepanjang Golden Mile iaitu laluan pesisir pantai antara Sibuti ke Miri .

Rancakkan aktiviti pelancongan pesisir pantai Miri

by Steve Annuar. Utusan Borneo 20 Mei 2013, Isnin

image

Promosi kawasan dari pusat bandar raya Miri ke Sibuti beri manfaat kepada penduduk kawasan berkenaan

MIRI: Penganjuran aktiviti-aktiviti pelancongan di sepanjang laluan pesisir pantai dari pusat bandar raya Miri hingga ke Sibuti harus dirancakkan sebagai cara baharu untuk menambah tarikan pelancongan di sini.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, promosi kawasan yang dianggap ‘Golden Mile’ itu akan memberi manfaat menyeluruh kepada penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan selain menghidupkan lagi suasana pelancongan di sini.

Kawasan Sibuti yang terletak di pinggir bandar raya Miri memiliki banyak tarikan seperti kekayaan buah-buahan bermusim serta kawasan pantai yang cantik, sesuai dijadikan pusat percutian dan riadah untuk pelancong.

Beliau berkata Sibuti adalah lokasi terbaik untuk mempromosikan buah-buahan bermusim.

Buah-buahan di Sibuti telah menarik penduduk Brunei dan boleh menjadi tarikan pada masa depan.

“Saya cadangkan kita adakan konvoi atau festival khas untuk penduduk Sibuti yang akan memberi manfaat kepada seluruh penduduk Miri.

“Oleh itu, perlu ada kerjasama antara Majlis Daerah Subis (MDS) dan Majlis Daerah Miri (MDM) untuk memastikan seluruh kawasan sepanjang pantai (Miri-Sibuti) dibangunkan untuk aktiviti percutian.

“Malah, kita boleh menganjurkan aktiviti ke Sibuti dengan banyak pilihan di sepanjang jalan iaitu Golden Mile Miri ke Sibuti,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Hari Bandar Raya Miri Kela-pan di sini malam kelmarin.

Menurut Taib, penganjuran pelbagai aktiviti juga merupakan syarat penting untuk memastikan setiap destinasi pelancongan terus dikunjungi.

“Miri telah memilih untuk menjadi sebagai bandar raya peranginan.

“Kejayaan sebuah bandar raya peranginan memerlukan kepimpinan yang baik dalam menganjurkan banyak aktiviti.

“Sebuah bandar raya boleh menjadi cantik, tetapi tidak akan hidup tanpa aktiviti untuk menarik pelancong yang mencari riadah dan keseronokan, tidak akan berjaya menjadi sebuah bandar raya peranginan,” ujarnya.

Taib berkata, Miri mempunyai pakej yang cukup untuk menarik pelancong iaitu makanan laut yang sedap, pelbagai restoran dan pusat beli-belah serta lokasi di pesisir pantai (memancing).

Beliau turut memuji usaha Majlis Bandaraya Miri (MBM) menjana industri pelancongan selama ini dan keupayaan menarik penyertaan penduduk menganjurkan pelbagai aktiviti khasnya dalam kalendar aktiviti Miri May Fest sempena meraikan Hari Bandar Raya Miri.

“Saya rasa Miri mempunyai pengalaman yang cukup untuk membangunkan industri pelancongannya dan saya berharap MBM akan memberi fokus kepada aktiviti-aktiviti yang dapat menaikkan nama Miri,” jelasnya.

Untuk mempromosikan kebudayaan, beliau mencadangkan agar persembahan kumpulan kebudayaan diadakan sekali seminggu di setiap hotel.

Ini boleh dilakukan dengan bantuan promosi, sumbangan tajaan dan kerjasama daripada pihak pengurusan hotel, katanya.

Mengimbas sejarah Miri, Taib berkata: “Miri mengalami waktu sukar pada 50 tahun lalu kerana ekonominya terlalu bergantung kepada industri minyak di darat”.

Bagaimanapun, budaya menggalakkan kehadiran pelabur-pelabur luar untuk membantu membangunkan industri minyak dan pembalakan telah mempercepatkan pembangunan ekonomi Miri.

“Pada 50 tahun lalu adalah sukar untuk Miri kerana terlalu bergantung kepada industri minyak kerana minyak di darat kurang dan sedang mengusaha peralihan industri minyak ke kawasan laut.

“Masa itu, saya berdoa untuk Miri terus membangun dan tidak menyangka akan meraikan Hari Bandar Raya Miri. Miri telah bangkitkan semula kekayaannya menjadi lebih baik daripada yang disangkakan pada 50 tahun lalu,” kata Taib.

Keluasan Miri juga meluas sebanyak empat kali ganda dan berupaya menukar kawasan hutan di Tudan sebagai kawasan kediaman baharu yang luas.

Selain itu, penubuhan Curtin University Sarawak juga membantu mengukuhkan status Miri yang turut merupakan kriteria utama membenarkan Miri bergelar bandar raya baharu di Sarawak pada 20 Mei 2005.

Beliau turut berbangga dengan pencapaian Curtin sehingga berjaya dikenali di seluruh Malaysia sekali gus menjadikan Miri sebagai pusat pendidikan utama di Sarawak.

“Penduduk Miri telah bekerja keras untuk masa depan Miri.

“Bukan sahaja penduduk asal tetapi juga penduduk luar dari Miri, kerana mereka juga bekerja keras dan menjadi penggerak pembangunan ekonomi Miri. Ini telah menambah populariti Miri,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda