Utusan Borneo 5 December 2012, Rabu
MIRI: Masjid At-Taqwa Miri menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan serta membaik pulih kerosakan yang sedia ada.
Pengerusi Masjid At-Taqwa Miri, Hamzah Dadu memberitahu peruntukan tersebut telah disalurkan kerajaan menerusi agensinya, Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melaksana kerja-kerja membaik pulih.
“Kita telah menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan satu perbincangan bersama JKR telah dilakukan bagi memastikan peruntukan itu digunakan untuk kerja-kerja membaik pulih struktur masjid kami,” katanya di sini semalam.
Beliau memberitahu, kerja-kerja bagi menaik taraf lantai masjid berkenaan telah siap sepenuhnya namun masalah bumbungnya (kubah masjid) bocor yang masih membelenggu para jemaah masjid.
“Peruntukan sekurang-kurangnya RM750,000 diperlukan bagi menampung kerosakan bumbung masjid yang bocor akibat hujan lebat,” katanya.
Beliau memberitahu, jika hujan lebat para jemaah terpaksa beralih dan beribadat di kawasan berhampiran bagi mengelak daripada basah akibat kebocoran bumbung masjid.
Sementara itu, isu bumbung Masjid At-Taqwa turut menarik perhatian parti-parti politik terutamanya pihak pembangkang.
Pihak pembangkang sebelum ini turut mempersoal peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak digunakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan bumbung masjid terbabit.
Pada masa sama, pihak terbabit mengharapkan masalah kebocoran pada kubah masjid terbabit diatasi segera atau diganti dengan kubah baharu sekali gus dapat menyelesaikan masalah kebocoran.




