Friday, November 23, 2012

OUNA Minta Dibawa Berkongsi Idea Demi Kemajuan Orang Ulu!

Orang Ulu semakin lantang bersuara dengan adanya sokongan daripada kerajaan.  Mereka minta dibawa berkongsi idea dalam apa juga isu yang berkaitan dengan Orang Ulu khsusunya.  Ini adalah petanda baik bahawa kerajaan semakin prihatin terhadap setiap kaum dan berkemungkinan besar akan wujud jawatan Temenggung bagi menghargai kaum Orang Ulu.  

Syabas di atas usaha kerajaan Sarawak yang membangunkan komuniti dan juga negeri ini dengan aman dan saksama.
Orang Ulu di Baram ikrar sokong projek empangan hidroelektrik

Utusan Borneo November 22, 2012, Khamis

KUCHING: Masyarakat Orang Ulu di Baram semalam menyatakan ikrar mereka untuk menyokong usaha kerajaan negeri meneruskan projek empangan hidro elektrik di situ.

KONGSI IDEA: Abu Bakar menjelaskan sesuatu kepada Taib mengenai cadangan masyarakat Orang Ulu semasa pertemuan, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang (kiri) serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Baram, Datuk Jacob Dungau Sagan (kanan). — Gambar Chimon Upon

Presiden Persatuan Orang Ulu Kebangsaan (OUNA) Datuk Abu Bakar Abdullah percaya, pembinaan empangan hidroelektrik Baram akan menguntungkan masyarakat Orang Ulu yang tinggal di kawasan tersebut dalam jangka panjang.

“Kami menyokong kerajaan negeri untuk meneruskan pembinaan projek empangan hidroelektrik di Baram kerana ini akan membawa kemajuan kepada masyarakat Orang Ulu.

“Jika projek empangan hidroelektrik Baram tidak diteruskan, masyarakat Orang Ulu akan terus menghadapi masalah seperti tiada pembinaan jalan dan tiada bekalan elektrik.

“Apabila masyarakat Orang Ulu di Baram menikmati semua kemudahan dan prasarana asas, mereka tidak perlu berhijrah ke kawasan lain,” katanya ketika ditemui semasa mengetuai rombongan masyarakat Orang Ulu mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Abu Bakar berkata, masyarakat Orang Ulu di situ hanya mahukan situasi yang menguntungkan semua pihak dan yakin projek itu berobjektif demikian.

Beliau turut menegaskan masyarakat Orang Ulu di Baram tidak pernah membantah pembinaan empangan hidro-elektrik Baram, tetapi mereka mahu dibawa berunding kerana projek tersebut akan menjejaskan mereka.

“Jika boleh, kami mahu kerajaan negeri mengambil kira pendapat rakyat sebelum mereka meneruskan projek empangan hidroelektrik itu,” katanya.

Masyarakat itu, ujar beliau, juga ingin meminta kerajaan negeri menimbang pelantikan ketua-ketua masyarakat Orang Ulu di Kuching, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang kerana ramai daripada mereka sudah berhijrah ke kawasan-kawasan tersebut.

“Kita juga memerlukan seorang temenggung dari suku kaum Kenyah di Baram dan Belaga,” tambahnya.

Selain itu, katanya, bagi menggalakkan aktiviti ekonomi dan membolehkan masyarakat Orang Ulu maju di kawasan sendiri, mereka mahu kera-jaan negeri menyediakan bantuan pertanian kepada mereka.

“Selain itu, kita juga mahu kerajaan negeri menimbang untuk menyediakan tanah dan bantuan pertanian kepada masyarakat kita yang memeluk agama Islam,” katanya.

Seramai 150 masyarakat Orang Ulu dari seluruh negeri, termasuk 30 ketua masyarakat, melakukan kunjungan ke atas Ketua Menteri diketuai Abu Bakar, semalam.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda