Thursday, December 27, 2012

Buaya Makan Manusia Patut Dihukum!!

Sekiranya manusia didapati membunuh sesama manusia maka manusia tersebut akan dihukum gantung sekiranya sabit kesalahan.  Bagaimana pula halnya dengan buaya yang membunuh manusia? 

Buaya derhaka ini sepatutnya dibunuh juga.  Bagaimanakah perasaan seorang ibu apabila mendengar anaknya dilambung-lambung sebelum diratah badannya oleh buaya?  Seperti yang kita sedia maklum di kawasan tebing Sungai Iran, penduduk sekitarnya amat bergantung kepada sungai tersebut.  Menurut penduduk tempatan, sejak dahulu lagi memang terdapat buaya tetapi kebelakangan ini bilangan mereka berjumlah berlipat kali ganda.  Ini menyebabkan rantai makanan bagi buaya tersebut semakin berkurangan dan mereka mula mencari makanan di darat dengan memakan manusia dan haiwan.  

Semoga pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan mengkaji dengan lebih teliti ciri-ciri untuk menangkap buaya mangsa merbahaya memandangkan bilangan buaya semakin banyak di Sibuti.

Mereka perlu mengambil kira kawasan sungai yang masih menjadi kunjungan penduduk kampung yang kekurangan bekalan air bersih dan masih bergantung dengan air sungai untuk memasak, membasuh pakaian dan juga mandi.
Keluarkan permit tangkap buaya pemangsa

by Mohd Norhadie Sahari. Utusan Borneo 25 Disember 2012, Tuesday
AHMAD LAI
Permit tangkap buaya di kawasan Parlimen Sibuti perlu berikutan serangan buaya semakin menjadi-jadi

MIRI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) harus mengeluarkan permit untuk menangkap buaya pemangsa bagi kawasan Parlimen Sibuti, berikutan kejadian serangan buaya semakin menjadi-jadi ketika ini.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata cadangan supaya PERHILITAN mengeluarkan permit kepada orang awam untuk menangkap buaya pemangsa pernah disuarakan sebelum ini.

“Sehingga kini, tiada sebarang tindakan yang diambil agensi berkenaan dalam memantau serangan buaya di kawasan Sibuti dan saya berharap agensi berkenaan memandang serius perkara ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau memberitahu, permit berkenaan harus diberikan kepada pengusaha buaya supaya ia mampu mengurangkan populasi reptilia itu yang semakin banyak di sungai-sungai Sibuti.

“Seorang pengusaha buaya dicadangkan menangkap 20 ekor buaya dan mereka boleh memindahkan buaya terbabit di Taman Buaya Kuala Baram sebagai produk pelancongan,” jelasnya.

Ahmad Lai seterusnya memberitahu, jika PERHILITAN memberikan permit kepada pengusaha buaya ini untuk menangkap buaya, maka ia sekurang-kurangnya mampu mengurangkan populasi buaya di Sibuti.

“PERHILITAN contohnya boleh memberi syarat supaya buaya ini hanya ditangkap dengan jumlah tertentu sahaja dan buaya yang ditangkap itu boleh dijual kepada penguasa buaya,” ujarnya.

Beliau turut mengakui bahawa populasi buaya di Sibuti semakin meningkat dan jumlah itu sangat membimbangkan terutama bagi mereka yang tinggal di tebing- tebing sungai.

“Buaya semakin banyak di kawasan Sibuti dan ia boleh dilihat sendiri jika buaya ini berjemur di tebing-tebing sungai apabila air surut dan kebanyakan buaya ini adalah besar-besar belaka,” akuinya.

Dalam perkembangan sama, cadangan supaya PERHILITAN mengeluarkan permit untuk menangkap buaya turut disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bekenu Rosey Yunus.

“Saya sangat berharap PERHILITAN mengambil iktibar daripada serangan buaya yang terbaharu ini seterusnya mengeluarkan permit untuk menangkap buaya bagi mengurangkan jumlah reptilia itu,” katanya.

Beliau juga berharap supaya penduduk yang tinggal di tebing-tebing sungai supaya sentiasa berhati-hati jika mendekati sungai kerana bimbang berisiko menjadi mangsa serangan buaya seterusnya.

Sementara itu, serangan buaya membabitkan seorang pelajar di sungai Kampung Iran pada Sabtu lalu adalah kejadian ketiga yang dilaporkan berlaku sepanjang tahun ini.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda