Friday, October 19, 2012

Jauhi Peniaga Tidak Beretika di Miri!


Semenjak Miri dikuasai oleh DAP lebih banyak kedai yang tidak mengamalkan etika yang tinggi. Antara amalan peniaga ini adalah seperti menjual kad prabayar dengan kadar yang lebih tinggi. Kad prabayar atau reload bagi telefon bimbit dijual dengan harga yang lebih mahal dan semakin berleluasa di Miri.

Mereka yang didapati bersalah ini sepatutnya diambil tindakan dengan tegas kerana menipu pengguna. Mereka ini patut didenda dan digantung lesen perniagaan untuk mengelakkan peniaga tidak beretika ini daripada terus menipu orang awam. Kesalahan kecil seperti mengenakan harga lebih bayar adalah seperti mencuri secara kecil-kecilan walaupun 10 sen, malah ada juga yang lebih berani dengan mengenakan bayaran sehingga RM 5!

Semoga peniaga di kawasan seperti Miri ini dipantau dengan lebih tegas oleh KPDNKK agar mereka ini tidak bertindak sesuka hati untuk menaikkan harga barangan yang dijual.

Kad prabayar dijual lebih mahal berleluasa

Utusan Borneo 19 Oktober 2012, Jumaat

MIRI: Kad isian semula prabayar (kad reload) bagi telefon bimbit yang dijual oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab melebihi nilai sebenar, menimbulkan kebimbangan di kalangan pengguna terutama di Miri.

Beberapa pengguna di sekitar bandar ini mula merungut tentang perkara berkenaan melalui tinjauan yang dilakukan oleh Utusan Borneo sejak seminggu lepas.

“Saya beli kad reload yang bernilai RM10 selalunya dengan harga RM10.50 atau RM11 di sesetengah kedai,” kata seorang pengguna berumur 26 tahun yang bekerja di Pusat Komersil Centre Point di sini semalam.

Menurutnya, dia dimaklumkan oleh seorang rakannya bahawa sebenarnya perkara berkenaan tidak dibenarkan dan menyalahi undang-undang.

“Pada mulanya saya tidak tahu, tapi seorang kawan saya menjelaskan bahawa perkara tersebut adalah salah,” ujarnya.

Apatah lagi, katanya perkara berkenaan telah lama berlaku dan rata-rata tempat menjual kad reload yang beliau jumpa menjualnya bukan dengan nilai sebenar.

“Mungkin tidak semua (kedai), tapi setakat ini masih ada yang menjual kad tersebut dengan harga lebih,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna yang juga meminta identitinya dirahsiakan, menyatakan perkara yang sama kepada pemberita.

“Ada yang menjual kad tersebut yang mempunyai nilai hanya RM10, tetapi dijual dengan harga sampai RM15, saya beberapa kali sudah terkena,” katanya yang merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat swasta berumur 31 tahun.

Masalah berkenaan jelasnya bukan sahaja menyalahi undang-undang malahan peniaga yang terlibat meraih keuntungan secara melampau.

Pada masa sama, kedua-duanya meminta pihak yang bertanggungjawab berbuat sesuatu mengenai perkara itu dengan kadar segera sebelum ia terus berleluasa.

Sementara itu, Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Miri, Zakaria Awang ketika dihubungi memberitahu ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pengguna.

“Tidak ada alasan, peniaga tetap salah dan ia merupakan perniagaan yang tidak beretika sama sekali,” katanya.

Peniaga jika menjual kad reload berkenaan melebihi nilai yang ditetapkan adalah mengambil untung secara berlebihan.

“Saya sarankan pengguna lebih bijak memilih kedai yang hanya menjual kad reload dengan nilai sama dan lapor segera di pejabat kami jika masih ada kedai yang menjualnya tidak mengikut harga tertera,” tegasnya.



0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda