Sunday, June 23, 2013

Pelajar TERDEDAH KEPADA ANCAMAN SANG BEDAL di SMK SUAI NIAH

Berikutan masalah ketiadaan air sebelum ini, menurut Pengetua Sekolah SK Suai, bahawa sekiranya pelajar mandi di sungai yang berhampiran kemungkinan besar mereka akan menjadi mangsa sang buaya.  Bantuan air yang diberikan juga tidak konsisten daripada pihak yang berwajib.

Menurut ADUN Bekenu pula, terdapat paip pecah yang menjadi punca utama air tidak dapat disalurkan dan berharap pihak JKR akan menyegerakan pembaikan paip air.

JKR harus drastik tangani masalah ketiadaan air di Niah

Posted on June 23, 2013, Sunday

MIRI: Jabatan Kerja Raya (JKR) harus mengambil langkah drastik dalam menangani masalah ketiadaan bekalan air bersih yang dialami lebih 1,000 penduduk di kawasan Niah sejak tiga bulan lalu.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata JKR sebagai jabatan bertanggungjawab harus komited dalam mencari punca sebenar yang menyebabkan air paip tidak dapat disalurkan ke kawasan terjejas.

“Masalah ketiadaan bekalan air bersih hanya dialami penduduk di beberapa kawasan selepas Kampung Bukit Bom, Sepupok hingga ke pekan Niah, SMK Suai dan beberapa kampung berhampiran,” katanya kepada Utusan Borneo kelmarin.

Dalam pada itu, Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata beliau diberitahu bahawa masalah tersebut berpunca daripada saluran paip ke kawasan berkenaan yang pecah.

“Jangan beritahu saya bahawa sehingga kini mereka masih belum dapat menyelesaikan masalah itu.

“Ini kerana ia telah menimbulkan banyak kesulitan kepada penduduk di kawasan terjejas termasuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam,” tegasnya.

Rosey memberitahu demikian ketika menghubungi Utusan Borneo untuk mengulas laporan berita yang disiarkan akhbar ini kelmarin berhubung masalah ketiadaan air yang membelenggu lebih 600 pelajar dan guru di SMK Suai, Niah sejak tiga bulan lalu.

Sehubungan itu, beliau menggesa JKR supaya menyegerakan tarikh operasi bagi loji perawatan air baharu untuk Niah yang didakwanya sehingga kini masih belum beroperasi mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Projek (loji) itu dijadualkan mula beroperasi pada penghujung Mei lalu, namun ia tetap belum beroperasi walaupun sekarang telah masuk penghujung Jun.

“Saya berharap apabila loji itu beroperasi kelak, ia akan menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Suai Abu Saran Sahari ketika dihubungi memberitahu pihak JKR hanya menghantar satu tangki (800 gelen) air ke sekolah mereka semalam.

“Satu tangki amat tidak mencukupi dan ia hanya cukup-cukup untuk memasak dan dijadikan air minum. “Kami tidak rela para pelajar dan guru mandi di beberapa sungai berdekatan yang diketahui dihuni banyak buaya,” ujarnya.

Menurut Abu Saran, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lima tangki air, baharu mencukupi untuk keperluan seharian termasuk mandi dan berharap JKR sentiasa konsisten dalam menghantar bekalan air ke sekolah mereka.

“Saya ada merekod, kadang-kadang mereka hantar sembilan tangki sehari, ada juga hantar setangki sehari dan ada kalanya tiada sebarang penghantaran dibuat pada satu hari.

“Ini amat menyukarkan kami kerana air merupakan keperluan asas paling utama dalam kehidupan seharian,” katanya.

Katanya tujuan beliau menghebohkan masalah ini bukan bermaksud untuk menyalahkan mana-mana pihak tetapi sekadar memberitahu orang luar masalah sebenar yang dihadapi mereka.

“Kadang-kadang saya terpaksa membiarkan para pelajar tidak mandi sehingga dua hari daripada membenarkan mereka terdedah kepada ancaman sang bedal yang menghuni beberapa sungai berdekatan,” katanya sambil menambah sekolah mereka memang mengalami masalah tekanan air rendah sejak mula dibuka 10 tahun lalu.

Berikutan masalah itu katanya, mereka terpaksa membenarkan para pelajar pulang ke rumah masing-masing setiap minggu walaupun tindakan sedemikian mendapat bantahan daripada ibu bapa.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda