Tuesday, June 25, 2013

Tekanan AIR DI SMK SUAI KEMBALI!

Mujurlah ada tindakan pantas daripada ahli YB di Bekenu dan Sibuti serta JKR yang berjaya menyelesaikan masalah tekanan air di kawasan Sepupok, Niah. 

Kini semua penduduk tersenyum lebar berkat usaha giat untuk menghapuskan masalah rakyat terutama sekali yang menghadapi kemelut air bersih selama tiga bulan yang lalu.

Syabas kepada kerajaan BN yang berjaya menyelesaikan masalah air di Sepupok.

Masalah bekalan air penduduk Sepupok berakhir

Posted on June 24, 2013, Monday

MIRI: Selepas 10 tahun dibelenggu masalah tekanan air yang terlalu rendah hingga ada kalanya tiada air langsung, akhirnya penduduk di Sepupok, Niah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suai, menarik nafas lega apabila masalah mereka mendapat perhatian dan diselesaikan oleh pihak berkaitan.

Sebelum waktu subuh semalam, penduduk di kawasan berkenaan akhirnya menikmati tekanan air yang bukan sahaja tinggi malah air keluar deras, pengalaman yang tidak pernah dialami penduduk selama ini.

“Selama 10 tahun ini kami berdepan dengan tekanan air yang rendah dan masalah ketiadaan air sejak beberapa bulan lepas, hari ini (semalam) telah diselesaikan,” kata Pengetua SMK Suai Abu Saran Sahari ketika dihubungi semalam.

“Malah masalah bukan sahaja selesai, tetapi tekanan air jauh lebih baik daripada yang kami pernah alami sejak 10 tahun lalu.

“Sehubungan itu kami amat berterima kasih kepada kerajaan yang telah bertindak segera membantu menyelesaikan masalah air ini bukan sahaja di sekolah kami tetapi juga penduduk di Sepupok ini,” tambahnya.

Beliau juga berharap masalah air yang pulih tidak untuk tempoh sementara sahaja tetapi dalam jangka masa yang panjang, kerana guru dan pelajar sekolah amat bergantung kepada keperluan tersebut.

Menurut Abu Saran, sebelum ini, para pemimpin masyarakat setempat telah berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan masalah bekalan air bersih tersebut selesai.

“Wakil rakyat di sini, YB Ahmad Lai (Ahli Parlimen Sibuti), YB Rosey Yunus (ADUN Bekenu) dan pemimpin masyarakat termasuk pihak pengurusan dan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melakukan segala yang terbaik untuk menyelesaikan masalan ini.

“Justeru saya amat berterima kasih dan memuji usaha yang telah mereka lakukan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Masyarakat Cina di Niah Kapitan Haw Min Wai berkata, penduduk di situ telah menerima bekalan air bersih sekitar jam 3 dan 4 pagi semalam, pada tekanan yang jauh lebih baik berbanding selama ini.

“Pagi tadi, saya meninjau di kawasan sekitar pekan Sepupok, yang selama ini berdepan dengan masalah air sejak tiga bulan lepas termasuk SMK Suai, rumah persendirian, kawasan perumahan dan rumah-rumah panjang.

“Ternyata semua orang gembira masalah air ini telah diselesaikan awal pagi tadi (semalam) dan saya juga amat gembira, apatah lagi semua orang mengakui tekanan air adalah jauh lebih baik,” katanya.

Haw menjelaskan, beliau telah dimaklumkan oleh JKR bahawa bekalan air bersih akan dipamkan ke semua rumah di pekan berkenaan termasuk SMK Suai, menggunakan pam baharu daripada loji bekalan air yang baharu.

“Saya juga diberitahu bahawa JKR menggunakan pam baharu daripada loji rawatan air yang baharu tetapi akan mengepam air menerusi saluran paip lama, sehinggalah loji rawatan air yang baharu, bersedia sepenuhnya untuk beroperasi dalam tempoh tiga minggu lagi atau lebih, sebagaimana yang dimaklumkan mereka (JKR),” tambahnya.

Haw turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menyelesaikan masalah yang berlaku, terutama Penolong Pengarah JKR Sarawak Datuk Liu Ju Meng yang telah mengunjungi beliau secara peribadi sebaik mendengar mengenai masalah tersebut.

Masalah air yang melanda pekan Sepupok khususnya yang melibatkan SMK Suai telah disiarkan dalam akhbar Utusan Borneo dan The Borneo Post baru-baru ini, apabila lebih 600 guru dan pelajar yang tinggal di asrama sekolah berkenaan berada dalam tekanan dan keadaan sukar berikutan ketiadaan air.

“Dengan adanya bekalan air bersih ini diharap semua pihak akan memanfaatkannya dan menggunakan air dengan bijak dan tidak membazir, khususnya pada musim kering sekarang,” jelas beliau.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda