Thursday, January 17, 2013

Penduduk gembira dengan kunjungan bersejarah Tun Salahuddin ke Kampung Kuala Sibuti


Utusan Borneo 17 Januari 2013, Khamis

KUALA SIBUTI: Tarikh 16 Januari 2013 (semalam) akan menjadi lakaran sejarah tersendiri buat penduduk Kampung Kuala Sibuti apabila buat pertama kalinya menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin pagi semalam.

Kehadiran Tun Salahuddin disambut meriah sambil diiringi paluan kompang oleh penduduk kampung yang telah menunggu seawal jam 8.30 pagi.

Turut mengiringi ketibaan beliau adalah Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan
Keluarga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus, ADUN Lambir, Ripin Lamat, Residen Miri Antonio Kahti Galis dan Pegawai Daerah Miri Boniface Intang Apat.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis mengalu-alukan kehadiran Tun Salahuddin, Kaunselor Jamali Basri menyifatkan kesudian beliau melawat ke Kampung Kuala Sibuti merupakan satu penghormatan besar buat penduduk kampung berkenaan.

“Kami di sini berasa amat bertuah dan terharu atas kesudian Tun melawat ke kampung ini dan ia merupakan satu penghormatan besar kepada kami di sini,” katanya.

Menurut Jamali, Kampung Kuala Sibuti merupakan sebuah perkampungan nelayan dengan penduduk seramai 400 orang dan daripada jumlah itu, 95 peratus berketurunan Melanau.

Rata-rata penduduk di kampung ini bergantung sumber rezeki dengan hasil tangkapan laut dan hanya sebilangan penduduk sahaja yang mengusahakan pertanian.

Selain itu katanya, terdapat juga sebilangan anak muda telah berhijrah ke bandar dan bekerja di jabatan kerajaan dan syarikat swasta. “Dari segi pembangunan, kami di sini telah banyak menikmati pembangunan terutama bekalan elektrik dan air paip.

“Begitu juga dengan kemudahan jalan raya, yang masih perlu dinaik taraf untuk kemudahan kami di sini,” katanya.

Sehubungan itu, Jamali sebagai mewakili penduduk Kampung Kuala Sibuti mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Kami di Kuala Sibuti sentiasa menghargai dan menyokong setiap pembangunan yang dilaksanakan kerajaan dan berharap kerajaan sedia ada sekarang dapat dikekalkan untuk menjamin masa depan rakyat di negeri ini,” ujar beliau.

Sementara itu, sempena kunjungan Tun Salahuddin, penduduk kampung turut berpeluang menjual pelbagai produk makanan laut yang dihasilkan mereka sendiri kepada para tetamu yang hadir.

Selesai lawatan, Tun Salahuddin kemudian meluangkan masa menunaikan solat Zohor berjemaah bersama penduduk di Masjid Al-Jabbar di Sepupok, Niah.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda