Saturday, January 19, 2013

SNAP Kekal Dibatalkan Oleh Mahkamah Persekutuan Sejak 2002

Parti Kebangsaan Sarawak kekal dimansuhkan kerana gagal menyelesaikan krisis dalaman parti sejak 2002.  Keputusan ini dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan Pendaftar Pertubuhan tetap membatalkan pendaftaran parti ini.  

Semoga parti yang mempunyai masalah dalaman segera menyelesaikan pertikaian agar tidak dibatalkan pendaftaran mereka kelak.
Perjuangan akan tetap diteruskan

by Agnes Tugong. Utusan Borneo 19 Januari 2013, Sabtu

BERKUNCI SELAMANYA: Ibu Pejabat SNAP di Satok ditutup daripada beroperasi selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan ROS membatalkan pendaftaran parti itu pada 2002, Khamis lepas.

KUCHING: Penyokong tegar Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) akan tetap meneruskan perjuangan meskipun tanpa parti selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran SNAP pada 2002, kelmarin.

Meskipun kecewa dengan keputusan itu, para pemimpin SNAP tetap menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan yang membawa kepada berakhirnya riwayat SNAP.

Bekas Naib Presidennya, Frankie Jurem Nyumboi ketika dihubungi semalam melahirkan rasa kecewa dengan keputusan mahkamah itu, namun percaya masih ada peluang untuk SNAP bertapak kembali jika kena pada salurannya.

“Keputusan pembatalan SNAP sama seperti kes 10 tahun lepas, gagal mematuhi notis ROS mengemukakan bukti krisis dalaman parti telah diselesaikan.

“Ini adalah keputusan mahkamah dan kami hormati keputusan ini meskipun ia agak mengecewakan kami,” ujarnya ringkas.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk didaftarkan semula, Frankie berkata, ia mungkin tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat ini kerana banyak perkara yang perlu diteliti semula sebelum apa-apa rancangan seterusnya diambil.

“SNAP boleh memohon untuk didaftarkan semula tetapi ia bukan semudah itu. Banyak perkara yang perlu dikaji semula serta diteliti dengan sedalam-dalamnya kerana jika tidak, pendaftaran pastinya akan dibatalkan sekali lagi.

“Cara lain kami boleh menubuhkan parti baharu atau menyertai parti-parti lain luar dari komponen Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Utusan Borneo.

Bernama kelmarin melaporkan Mahkmah Persekutuan di Putra Jaya mengekalkan keputusan ROS membatalkan pendaftaran SNAP pada 2002.

Keputusan itu dicapai panel hakim lima anggota selepas parti itu gagal mematuhi notis ROS meminta parti itu mengemukakan bukti krisis kepimpinan parti itu telah selesai.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong yang mengetuai panel itu memutuskan ROS mempunyai bidang kuasa mengikut Seksyen 16 (1) Akta Pertubuhan 1966 untuk mengarahkan parti menyelesaikan pertikaiannya.

Abdull Hamid berkata, keputusan membatalkan pendaftaran SNAP berikutan kegagalan parti itu mematuhi notis ROS dan menambah tiada alasan diperlukan di bawah undang-undang itu.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda