Friday, February 1, 2013

Awasi Anak Dalam Dunia Realiti Dan Dunia Digital: Fatimah

Ibu bapa seharusnya melengkapkan diri mereka dengan kemahiran IT.  Kini terdapat banyak sumber untuk meneroka alam digital, tentulah dengan bersama dengan anak anda setiap kali mereka melayari laman web.  Jangan biarkan mereka berseorangan terutama sekali banyak ancaman negatif di dalam dunia digital sekiranya tidak dikawal!

Luangkanlah masa bersama dengan anak anda setiap kali mereka di hadapan komputer.  Jangan malu bertanya sekiranya anda tidak faham dengan apa yang mereka lakukan.  Lama-kelamaan kita akan dapat mengetahui apa itu dunia digital dan tahu apa yang dilakukan oleh anak kita di alam digital.
Ibu bapa harus lengkap diri dengan kemahiran digital


Utusan Borneo

MIRI (27 Jan): Ibu bapa harus melengkapkan diri dengan kemahiran digital untuk membenarkan mereka membendung penyalahgunaan alat perhubungan moden seperti telefon pintar dan komputer tablet dalam mempengaruhi kehidupan sosial anak-anak.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata tanpa pengawasan daripada ibu bapa atau penjaga dikhuatiri akan melekakan anak-anak sekali gus terpengaruh dengan anasir-anasir negatif daripada dunia siber.

‘Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menentukan bagaimana dan bila mereka menggunakan telefon bimbit.

“Sekarang dengan populariti laman sosial, anak kita boleh dikatakan berada dalam dunia realiti dan dunia digital.

“Ibu bapa juga berperanan mengawal penggunaan alat-alat digital ini.

“Justeru, penting untuk kita sebagai ibu bapa mengemas kini ilmu teknologi mereka agar kita peka dengan potensi dan bahaya peralatan ini,” katanya ketika merasmikan seminar Program Kenali Anak Kita PETRONAS (PKAKP) di sini semalam.

Mengulas lanjut tentang peranan ibu bapa, Fatimah berkata sokongan institusi keluarga penting agar setiap kekurangan dalam sistem pendidikan formal di sekolah dapat dilengkap sempurnakan di rumah.

Peranan ahli keluarga dan masyarakat penting dalam setiap usaha untuk memberi identiti budaya atau membentuk citra, imej dan wajah kewarganegaraan nasional kepada anak-anak.

Di samping itu, secara sedar menyediakan mereka asas kukuh untuk menghadapi cabaran dan tuntutan baharu sebagai warga dunia tanpa sempadan.

“Sebagai ketua institusi keluarga, ibu bapa mempunyai peranan yang amat signifikan dalam menentukan kebersediaan emosi, sosial, mental dan rohani dan juga kejayaan anak-anak, sama ada di bangku sekolah, dalam kalangan rakan sebaya, atau sebagai ahli keluarga dan masyarakatnya.

Mengulas tentang penganjuran seminar itu, Fatimah berharap program berkenaan dapat memperkasakan peranan ibu bapa sebagai ejen perubahan masyarakat.

Beliau berpendapat terdapat tiga cabaran utama yang perlu ditangani dengan bijak iaitu pengupayaan anak-anak dengan kemahiran generik, memperkukuhkan persekitaran sosiobudaya pembelajaran yang meransang watak anak-anak dan pemantapan institusi keluarga sebagai institusi pendidikan.

‘Kemahiran generik adalah kemahiran aras tinggi merangkumi kemahiran seperti komunikasi, menyelesaikan masalah, ingin tahu, kesabaran, keanjalan, kecekalan, ketahanan, keberanian dan kreativiti yang membolehkan anak-anak mengelola, menyesuaikan diri dan secara strategik menggunakan kemahiran spesifik yang dikuasai dalam persekitaran dan suasana baharu,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Petronas Haniff Hassan, Setiausaha Kehormat PENGASIH Roslan Yahya, Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis dan Timbalannya Abdul Aziz Mohd Yusuf.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda