Thursday, February 21, 2013

Kaum Cina Sarawak Mengamalkan Dasar Pintu Terbuka Untuk Kesejahteraan Bersama!

Kaum Cina di Sarawak memang tidak asing lagi dengan perpaduan, nilai-nilai murni untuk hidup sejahtera dalam 1 Malaysia.  Tidak hairanlah jika sekolah berbahasa Cina di Tudan menjadi pilihan kaum bukan Cina untuk menghantar anak mereka untuk belajar.  

Sikap pintu terbuka ini patut dicontohi di seluruh Malaysia agar semua kaum dapat hidup rukun damai dan menjadi masa hadapan generasi muda kita.  Syabas kepada kaum Cina di Sarawak khasnya buat SJKC Chung Hua yang menanam semangat 1 Malaysia di jiwa anak didik mereka.
Cina tidak asingkan diri daripada kaum lain: Taib

by Rosemaria Buma.

Utusan Borneo

Terbukti apabila mereka melaksanakan dasar pintu terbuka kepada pelajar Bumiputera untuk sama-sama belajar di SJKC

MIRI (21 Feb 2013): Kaum Cina di negeri Sarawak tidak pernah mengasingkan diri daripada kaum-kaum lain dan ini terbukti apabila mereka melaksanakan dasar pintu terbuka kepada para pelajar Bumiputera untuk sama-sama belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata ini jelas menunjukkan bahawa kaum Cina di negeri ini sama juga seperti yang terdapat di negeri-negeri lain di seluruh negara sentiasa ingin bersama kaum-kaum lain membina satu perpaduan yang utuh dalam pelbagai lapangan termasuk peluang pendidikan.

“Saya diberitahu bahawa 44 peratus daripada keseluruhan murid di sekolah ini berketurunan Cina dan bakinya 56 peratus adalah Bumiputera.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kaum Cina mempunyai kesedaran yang tinggi untuk berkongsi kebaikan yang mereka nikmati dengan kaum lain,” ujarnya.

Taib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian SJKC Chung Hua Tudan yang disempurnakan Perdana Menterti Datuk Seri Najib Tun Razak di sini lewat petang semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Ahli Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJKC Chung Hua Tudan Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.

Sehubungan itu menurut beliau, semangat sebegitu harus dipupuk untuk memastikan perpaduan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat majmuk di negeri ini dapat terus diperjuangkan dan dipelihara.

Dalam pada itu menurut Taib, sekolah tersebut yang mula ditubuhkan pada awal 2007 telah berkembang pesat dengan jumlah muridnya bertambah sebanyak lima kali ganda.

“Bila bilangan murid bertambah dengan pesat, maka kualiti sekolah juga akan dapat dipertingkatkan dengan cukup baik,” katanya.

Sementara itu katanya, sokongan kuat yang ditunjukkan ibu bapa jelas menggambarkan keinginan rakyat negeri ini untuk melihat kemajuan dalam bidang pendidikan terus dipertingkatkan.

Ini penting katanya, untuk melahirkan golongan profesional bagi mengisi peluang-peluang pekerjaan yang bakal wujud kelak.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda