Posted on June 18, 2012, Monday
MIRI: Masyarakat tidak seharusnya meragui kualiti dan standard pendidikan yang ada di negara ini.
Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang memberitahu, pendidikan yang diperolehi di negara ini setaraf dengan kualiti dan standard sekolah-sekolah di luar negara atau negara maju yang lain.
“Malahan, kita turut menerima kunjungan pihak-pihak sekolah dari luar negara khususnya untuk program lawatan sambil belajar di sini.
“Kita seharusnya berbangga kerana menerima kunjungan daripada pihak sekolah di luar sana yang mahu mempelajari budaya pendidikan kita di sini.
“Ini adalah satu kebanggaan kita dan menunjukkan sistem pendidikan kita adalah yang berkualiti dan mempunyai standard tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Perhimpunan Khas Hari Koperasi Sekolah 2012 Sekolah Menengah (SM) Sains Miri di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Lai mengingatkan para pelajar untuk terus mempelajari sesuatu yang baharu serta menambah pengetahuan demi masa depan.
“Pendidikan adalah penting dan perlu dijadikan keutamaan setiap pelajar. Dengan adanya pendidikan, ia mampu mengubah dan menjamin masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Mengulas mengenai Hari Koperasi Sekolah 2012 tersebut, Ahmad Lai berkata kerjasama perlu wujud bukan sahaja dalam kalangan pelajar dan guru, malahan ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan koperasi diuruskan dengan baik.
0 comments:
Post a Comment