Friday, June 22, 2012

Ladang Kelapa Sawit Didenda!!??

Setakat ini dua syarikat perladangan di Beluru dan Bakong telah dikenakan denda kerana pembakaran terbuka di Miri. Ini kerana NREB telah mengeluarkan larangan pembakaran terbuka berikutan dengan keadaan cuaca yang panas dan kering serta berjerebu di sekitar Miri. 

Terdapat banyak kes lagi yang masih dalam siasatan dan kesalahan maksima akan membawa denda sebanyak RM30 000 atau 3 tahun penjara jika sabit kesalahan.  Bersama-samalah kita membuka mata dan melaporkan kepada NREB sekiranya terdapat pembakaran terbuka oleh individu atau syarikat perladangan.  Ini kerana semakin banyak kadar serangan asma ke atas pesakit akibat cuaca panas dan berjerebu ini. 
Pembakaran terbuka: Syarikat perladangan didenda

Posted on June 22, 2012, Friday
BERJEREBU: Laluan berjerebu di sebatang jalan raya di Senadin, Miri, terutama pada awal pagi.
MIRI: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) telah mengeluarkan denda terhadap sebuah syarikat perladangan yang didapati melakukan pembakaran terbuka di kawasan ladang kelapa sawitnya di Beluru, Bakong, dekat sini.

Denda tersebut dikeluarkan selepas syarikat terbabit dikesan melanggar larangan terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka terutama oleh syarikat-syarikat perladangan, pada musim panas ini.

Pemangku Kontroler NREB Miri Joseph Uyo memberitahu, syarikat terbabit telah dikenakan kompaun sebanyak RM9,000 kerana didapati melakukan kesalahan tersebut.

Selain itu syarikat tersebut katanya, NREB kini sedang menyiasat tiga lagi kes pembakaran terbuka membabitkan tiga syarikat, di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Seksyen 30 (b) yang boleh membawa denda sebanyak RM30,000 atau tiga tahun penjara jika didapati bersalah.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan dengan lanjut nama ketiga-tiga syarikat terbabit kerana masih dalam siasatan.

“Baru-baru ini kami telah mengesan beberapa tompok panas di kawasan ladang dan tempat di mana syarikat berkenaan beroperasi.

“Sebaik dikesan terdapat tompok panas, kami turun padang dengan segera untuk menyiasat,” katanya.

Kelmarin NREB Sarawak telah membekukan pengeluaran premit pembakaran terbuka kepada semua individu dan syarikat berikutan cuaca kering dan berjerebu ketika ini.

Pembakaran terbuka adalah dilarang sama sekali di negeri ini dan mereka yang melanggar peraturan akan dikenakan kompaun serta-merta atau diheret ke mahkamah bagi kes yang lebih berat.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Miri S. Sivanathiran memberitahu keadaan berjerebu yang berlaku setiap tahun dengan kesan buruknya terhadap penduduk di utara negeri ini, telah meningkatkan kesedaran orang awam terhadap isu-isu pembakaran terbuka.

Keadaan ini terbukti, apabila sepanjang tempoh enam bulan tahun ini, JAS belum menangkap mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan tersebut iaitu melakukan pembakaran terbuka semasa musim kemarau atau cuaca kering.

“Berbeza dengan tahun lalu, setakat 20 Jun tahun ini, JAS masih belum melakukan sebarang tangkapan terhadap mana-mana individu yang melakukan pembakaran terbuka atau melakukan pencemaran udara melalui aktiviti pembakaran,” jelas beliau.

Sebaliknya setakat ini kompaun yang dikeluarkan JAS ialah terhadap pengeluaran asap berlebihan terutama oleh kenderaan diesel iaitu sebanyak 69 kes, manakala bagi kes-kes buangan terjadual (pembuangan bahan-bahan berkaitan kimia, racun dan sebagainya) adalah sebanyak 60 kes.

“Kesemua pesalah telah diberikan kompaun serta-merta sebanyak RM2,000 kerana melakukan kesalahan terbabit,” katanya.

Manakala bagi kes-kes yang lebih berat terutama membabitkan syarikat, pesalah boleh didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (29) (b) yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda