Wednesday, March 6, 2013

49 Lanun Sulu Terbunuh Setakat Ini

Menurut Utusan Online seramai 49 lanun Sulu sudah terbunuh dalam Ops Daulat.   Tiada anggota keselamatan kita yang cedera setakat ini.  Semoga lebih cepat pihak keselamatan membasmi lanun Sulu.
30 lagi pengganas Sulu maut
ANGGOTA komando Angkatan Tentera Malaysia menaiki helikopter Nuri untuk dihantar menggempur penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Sabah, semalam. - BERNAMA
LAHAD DATU 5 Mac - Selepas tiga minggu buntu mencari penyelesaian insiden penceroboh pengganas Sulu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya melancarkan serangan besar-besaran terhadap musuh yang berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Sehingga pukul 12 tengah malam ini, jumlah pengganas Sulu yang maut dalam serangan besar-besaran tersebut ialah 30 orang tetapi status ketua pengganas, Raja Muda Azzumudie sehingga kini masih menjadi tanda tanya walaupun terdapat khabar mengatakan dia terbunuh.

Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan pengganas Sulu yang berjaya ditumpaskan ATM dan PDRM sehingga kini ialah 49 orang, manakala di pihak anggota keselamatan negara tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dalam operasi itu.

Serangan yang dinamakan 'Ops Daulat' itu bermula pukul 7 pagi apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kekuatan tiga pesawat F-18D Hornet dan lima Hawk 208 menggugurkan sekurang-kurangnya enam bom panduan laser di kawasan musuh berkubu.

Fasa kedua serangan pula dimulakan sebaik sahaja pesawat F-18D Hornet dan Hawk 208 berlalu, apabila Tentera Darat yang menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi melihat kesan kemusnahan akibat pengeboman dan kemudian bertindak melepaskan tembakan mortar.

Kemudian fasa ketiga iaitu sesi pembersihan musuh dilancarkan oleh kira-kira 2,000 anggota Tentera Darat dan PDRM termasuk unit komando dari Grup Gerak Khas (GGK) serta VAT 69 dengan dibantu kenderaan perisai jenis Condor bagi menghapuskan saki-baki musuh.

Tumpuan serangan ialah di kawasan ladang kelapa sawit berbukit dan berpaya seluas empat kilometer, di mana lebih 100 pengganas Sulu diketuai Azzumudie yang bertindak membunuh dua anggota komando VAT 69 pada 1 Mac lalu selepas berpura-pura menyerah diri berada.

Pada masa yang sama, pemeriksaan dari rumah ke rumah juga dilakukan secara teliti oleh GGK dan VAT 69 kerana pengganas Sulu dikesan cuba melengah dan menyukarkan operasi pihak keselamatan dengan menyamar sebagai penduduk kampung berketurunan Suluk.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dalam sidang akhbar selepas operasi itu berakhir menyifatkan operasi itu satu kejayaan kepada pihak keselamatan negara hasil kerjasama erat antara ATM dan PDRM menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Selain semangat tinggi yang ditunjukkan anggota tentera dan polis, seperkara lagi yang begitu membanggakan ialah kerjasama erat yang terjalin di antara kedua-dua unit pasukan beruniform ini dalam operasi pembersihan di Kampung Tanduo," katanya di sini hari ini.

Pujian serupa turut diberi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang bangga dengan semangat membara anggota keselamatan negara yang terlibat dalam 'Ops Daulat' bagi menghapus pengganas asing berkat sokongan serta dorongan kuat seluruh rakyat Malaysia.

Jumaat lalu, dua anggota VAT 69, Allahyarham Asisten Supritendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud maut ditembak di kepala selepas terpedaya dengan taktik keji pengganas Sulu yang mengibar bendera putih sebelum bertindak menyerang anggota keselamatan.

Esoknya, enam lagi wira negara tumpas diserang hendap kumpulan penceroboh di Simunul, Semporna dengan dua daripada anggota polis tersebut dibunuh kejam apabila pengganas Sulu memenggal kepala dan membelah dada mangsa sebelum mengeluar organ dalaman.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia dimaklumkan sehingga tengah malam tadi operasi pembersihan masih dijalankan oleh tentera dan polis tetapi dilakukan secara berhati-hati kerana dipercayai masih terdapat saki-baki pengganas Sulu yang bersembunyi di dalam ladang kelapa sawit.

Langkah berhati-hati itu perlu dilakukan kerana pengganas Sulu yang disokong tentera Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) memiliki kemahiran tinggi dalam taktik peperangan gerila dan telah banyak kali bertempur dengan tentera Filipina sebelum ini.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda