Tuesday, March 19, 2013

Musa Umumkan Pembentukan ESSCOM


Kawasan Keselamatan Khas yang diumumkan oleh PM pada 7 Mac 2013 yang lalu kini diberi nama ESSCOM atau Kawasan Keselamatan Timur Sabah. Ini diberitahu kepada Jawatankuasa Keselamatan Negeri oleh Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri.

Berikut adalah laporan daripada Insight Sabah mengenai penubuhan ESSCOM.


Musa umumkan Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM)
13 Mac 2013 Insight Sabah


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman di sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri pada Isnin di Wisma Innoprise. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi (kedua dari kiri), Setiausaha Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman (ketiga dari kiri), Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Thajudeen Abdul Wahab (kanan) dan Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Sabah, Rodzi Md. Saad (kedua dari kanan).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman, mengumumkan bahawa Kawasan Keselamatan Khas (SSA) bagi Sabah sekarang secara rasminya kini dinamakan sebagai Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM). Penubuhan SSA diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac 2013, ketika lawatan beliau ke Lahad Datu untuk memantau keadaan di sana.

Musa, yang juga pengerusi Majlis Keselamatan negeri membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas, semalam.
Beliau berkata, Perdana Menteri sudah dimaklumkan mengenainya dan bersetuju dengannya. Butiran dan skop operasi ESSCOM sedang dikaji dan perinciannya akan diumumkan apabila semuanya sudah sedia.

Musa juga mendedahkan bahawa, kumpulan kerja teknikal ESSCOM akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan mereka akan mengadakan mesyuarat pertama pada hari Rabu, 13 Mac.
Perimeter keselamatan ESSCOM akan meliputi keseluruhan pantai timur termasuk Kudat, Sandakan, Kunak, Lahad Datu, Semporna dan Tawau dengan ibu pejabatnya di Lahad Datu.

Musa berkata, beliau yakin rakyat Sabah, terutama mereka yang tinggal di kawasan pantai timur, mengalu-alukan penubuhan ESSCOM itu kerana ia akan menjamin keselamatan dan keamanan di kawasan itu.

Menurut Musa, Majlis Keselamatan Negeri juga membincangkan cara terbaik memberikan bantuan kepada penduduk kampung yang terjejas dengan "OPS Daulat" oleh pasukan keselamatan yang memburu saki baki penceroboh bersenjata.

Beliau berkata, badan NGO yang mahu membantu penduduk kampung boleh menyalurkan bantuan melalui Majlis Keselamatan Negeri dan butir-butir boleh diperolehi dengan menghubungi talian 088-488 5000 atau 013-482 1604 / 013-306 0106.

Majlis Keselamatan Negeri juga memuji polis dan angkatan tentera yang menjalankan tanggungjawab mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara dengan pengorbanan mereka.

Majlis itu juga menyampaikan takziah kepada keluarga lapan anggota pasukan keselamatan yang dibunuh oleh pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Kampung Simunul, Semporna pada 1 dan 2 Mac.

- Posted using BlogPress from my New iPad


0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda