Monday, August 20, 2012

Ahmad Lai Juga Utamakan Keselamatan Pengguna Jalan Raya KM19 Bintulu-Miri


Ahmad Lai, Ahli Parlimen (AP) Sibuti, bukan sekadar berpolitik sahaja namun beliau juga mementingkan keselamatan pengguna laluan alternatif Bintulu-Miri di KM19 laluan pesisir pantai!

Laluan yang begitu sibuk menjelang musim perayaan, kadang-kadang boleh mengakibatkan kehilangan jiwa!

Atas kesedaran inilah AP Sibuti, Ahmad Lai menyertai dan memperkasakan lagi kempen Ops Selamat di KM19.

Kawasan kerap kemalangan menjadi lokasi strategik untuk Ahmad Lai memberikan makanan dan minuman bagi pengguna jalan raya itu agar mereka ini mengurangkan kelajuan kenderaan dan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya agar selamat sampai ke destinasi!

Pengguna jalan raya juga disarankan untuk memberi isyarat dengan jelas sekiranya hendak memotong, memberhentikan kenderaan dan juga ketika hendak bertukar arah!

Semoga Ops Selamat berjaya mencapai sasaran untuk memastikan statistik kemalangan berkurangan di KM19!
Elak jadi mangsa baharu nahas jalan pesisir Miri

by Steve Annuar. Utusan Borneo 18, Ogos 2012, Sabtu


BERHUJAN: Ahmad Lai menyampaikan bungkusan makanan dan minuman raya kepada salah seorang pengguna disaksikan oleh Mun (kiri), Boniface (dua kiri) dan Antonio (belakang Ahmad Lai).

MIRI: Pengguna jalan pesisir pantai Miri diingatkan agar lebih berhati-hati dan memandu dengan berhemah untuk mengelakkan mereka dari menjadi mangsa terbaharu nahas jalan raya yang kerap menimpa pengguna laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mun Kock Keong mengingatkan pemandu agar tidak memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan dan memastikan laluan selamat ketika hendak memotong kenderaan lain.

Katanya, laluan berkenaan yang termasuk laluan Miri-Bakam yang telah dikenal pasti sebagai kawasan kerap kemalangan atau ‘hotspot’ kemalangan di sini.

“Jangan sesekali berhenti sesuka hati tanpa memberi sebarang tanda isyarat. Berhati-hati dengan kenderaan berat seperti lori ketika hendak memotong. Jangan juga memandu terlalu laju,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa kempen keselamatan jalan raya Ops Selamat di KM19 Jalan Pesisir Pantai Miri semalam.

Perjalanan yang singkat dan keadaan jalan yang baik menyebabkan laluan berkenaan menjadi laluan ulang-alik popular antara Miri dan Bintulu.

Bagaimanapun, ia tetap menjadi penghubung utama untuk penduduk di pinggir bandar raya Miri iaitu Bakam, Bekenu dan Batu Niah ke Miri tanpa melalui perjalanan jauh menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo.

Selain polis, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang turut mengingatkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan jalan raya dan memandu dengan berkhemah.

Sikap leka dan tidak bertanggungjawab bukan hanya akan meragut nyawa pemandu tetapi juga mengancam nyawa orang lain termasuk ahli keluarga dan saudara-mara mereka.

“Yang penting keadaan fizikal kita sihat. Kenderaan kita juga harus dalam keadaan baik. Kita harus patuhi peraturan jalan raya. Kita harus sayang nyawa kita. Ingat anak dan cucu kita (ketika memandu),” nasihat beliau.

Sementara itu, keadaan hujan lebat tidak menghalang wakil rakyat itu untuk mengedarkan biskut dan minuman raya serta pelekat kempen keselamatan kepada pengguna jalan terbabit.

Residen Miri, Antonio Kahti Galis berterima kasih kepada penaja iaitu pasar raya Boulevard, pasar raya Giant, syarikat BLD dan Dewan Perniagaan Cina dan Industri Miri (DPCI) atas sumbangan makanan dan minuman itu.

Beliau turut berterima kasih kepada Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Shell, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana melaksanakan kempen berkenaan yang merupakan aktiviti setiap kali musim perayaan.

Hadir sama semalam ialah Pegawai Daerah Miri, Boniface Intang Apat.
Kempen dilaksanakan dari 12 hingga 26 Ogos ini.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda