Friday, August 17, 2012

Jabu Jamin Perancangan Teliti Untuk Pembangunan Luar Bandar dan Tanah


Kerajaan sentiasa memastikan projek pembangunan luar bandar selaras dengan pembangunan tanah. Tanah yang sesuai adalah perlu bagi memastikan semua kemudahan seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya dapat dibangun dan diluluskan dengan serentak!

Tan Sri Jabu juga menjamin bahawa kerajaan akan memberi perancangan yang terbaik bagi memastikan penduduk luar bandar dapat meningkatkan taraf hidup dengan sempurna.

Kerajaan sentiasa rancang rapi pembangunan tanah: Jabu

Utusan Borneo 16 Ogos 2012, Khamis



KUCHING: Kerajaan sentiasa membuat perancangan rapi untuk pembangunan luar bandar termasuk membangunkan tanah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Menurut beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar, kerajaan menitikberatkan kawasan tanah yang sesuai bukan sahaja bagi pembinaan projek malah turut memastikan segala kemudahan asas seperti jalan raya, kemudahan elektrik, loji air dan sebagainya bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Penduduk setempat harus memahami peranan kerajaan untuk memajukan luar bandar, kawasan tanah.

“Kawasan tanah yang sesuai akan dikaji dan kemudian dirancang jenis pembangunan yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya berucap pada majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah kepada seramai 78 orang penerima di Dewan Serbaguna Spaoh di Betong, kelmarin.

Beliau turut mengingatkan para penduduk setempat agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir pihak luar yang sentiasa cuba untuk mengugat kestabilan politik negeri ini.

Tambahnya, masyarakat harus sentiasa mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan negara bagi memastikan pembangunan yang berterusan dan matlamat transformasi negara dapat dicapai.

“Begitu banyak projek pembangunan dan kemudahan yang telah dilaksanakan dan dalam perancangan oleh kerajaan negeri dan pusat.

“Ia bagi memastikan kesajahteraan dan penambahbaikan taraf hidup rakyat terutamanya masyarakat di luar bandar,” katanya.

Jabu memberi contoh, salah satu projek yang sudah siap sepenuhnya dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran adalah Projek Tebatan Banjir Kampung Babu, Kampung Bungei dan Kampung Lallang, Debak bagi tujuan mengawal banjir ke kawasan kampung berkenaan.

Satu lagi projek yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini adalah Pusat Perkhidmatan yang terletak di antara Kampung Tuie, Kampung Mangut dan Supa.

Pusat Perkhidmatan itu, katanya, pas-tinya akan memberi kemudahan yang diperlukan masyarakat setempat dari segi sosioekonomi di mana pusat akan dibangunkan sekolah menengah dan rendah, klinik kesihatan, masjid, kemudahan sukan dan rekreasi, dewan, KEMAS, pondok polis, pusat komersial dan sebagainya.

Seramai 26 orang penerima daripada Kampung Babu, Kampung Bungei dan Kampung Lallang menerima pampasan sejumlah RM63,000 bagi Projek Tebatan Banjir.

Manakala seramai 52 orang penduduk Kampung Suba, Tuie dan Mangut pula menerima sejumlah RM190,000 bagi Projek Pembinaan Pusat Perkhidmatan.

Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Anthony Aboi dalam ucapannya berkata hampir RM27 juta pampasan telah disalurkan kepada lebih 2,000 orang penerima untuk tujuan bayaran pampasan bagi 57 projek kerajaan di Bahagian Betong sejak tahun 2008.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda