Perdana Menteri telah tertarik dengan lagu Iban yang bertajuk Biar Bekikis Bulu Betis semasa mengadakan kunjungan Hari Gawai di Sarawak. Kini beliau meminta agar lagu tersebut diterjemahkan dan dipromosikan di kalangan pelancong memandangkan irama yang rancak dan sedap didengar.
Kalau tidak percaya silalah dengar dengan sendiri irama yang memukau Perdana Menteri.
Lagu Iban ‘Biar Bekikis Bulu Betis’ turut diminati Perdana Menteri
Utusan Borneo 28 Ogos 2012, Selasa
KUCHING: Lagu Iban ‘Biar Bekikis Bulu Betis’ merupakan sebuah lagu yang menarik bukan sahaja popular di kalangan rakyat Sarawak tetapi turut diminati oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit berkata kementeriannya diarah oleh Najib untuk menterjemahkan lagu terbabit.
“Beliau mahu lagu ini diterjemah dan dipromosikan di kalangan pelancong,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Mambong di Kampung Sinjok malam Sabtu lepas.
Dawos yang juga Ahli Parlimen Mambong menyanyikan terjemahan lagu terbabit ekoran ditaja sebanyak RM1,000 untuk kutipan sumbangan PBTM Cawangan Mambong.
Penyanyi terkenal Iban, Andrewson Ngalai yang juga seorang komposer dan penulis lirik lagu terbabit kini masih popular di kalangan penyanyi karaoke sejak dilancarkan beberapa tahun lepas.
Beliau dikenali sebagai seorang komposer yang sukakan rentak rancak dan lirik lagu yang menarik melalui lagunya itu menceritakan perihal seorang lelaki yang sanggup bergadai nyawa untuk mendapatkan kekasih pilihan hati.
Najib dikatakan tertarik dengan lagu berkenaan ketika melakukan lawatan ke Betong dan Saratok sempena sambutan Hari Gawai di negeri ini pada 3 Jun lalu.
Dalam sebuah laporan, Najib memberitahu bahawa lagu terbabit layak dijadikan lagu peringkat kebangsaan kerana liriknya diibaratkan seperti semangat pantang menyerah kalah.
Najib berkata semangat seperti itu diperlukan untuk mencapai lebih banyak pencapaian dan pembangunan.
0 comments:
Post a Comment