Wednesday, August 29, 2012

TYT Sarawak Menerima Kejutan Di Miri!

Semasa mengadakan kunjungan lawatan ke Miri, TYT Gabenor Negeri Sarawak telah menerima kejutan apabila meraikan Majlis Makan Malam Semaian Kasih Aidilfitri.

Beliau turut diraikan sempena ulang tahun beliau bersama-sama dengan hadirin ke majlis makan malam tersebut.  Turut hadir adalah Ahli Parlimen Sibuti YB Haji Ahmad Lai Bujang bersama VVIP dan kenamaan yang lain. 

Sesungguhnya inilah majlis makan malam yang bermakna buat Tun Salahuddin, beserta dengan anak-anak yatim dari sekitar Miri dan Sibuti.

Warga Miri rai hari jadi Tun Salahuddin

Utusan Borneo 29 Ogos 2012, Rabu
SEMOGA PANJANG UMUR: Para tetamu kenamaan dan anak-anak yatim serta istimewa bersama-sama meraikan hari jadi Tun Salahuddin yang ke-91, di Hotel Mega Miri, malam kelmarin. Turut serta isteri beliau, Toh Puan Norkiah dan anak-anak.

MIRI: Pustaka Miri dengan kerjasama Hotel Mega, telah menganjurkan majlis makan malam meraikan hari jadi Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin yang ke-91, kelmarin.

Sambutan hari jadi tersebut merupakan kejutan oleh pihak penganjur sempena Majlis Makan Malam Semaian Kasih Aidilfitri yang diadakan bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh Pustaka Miri dan Hotel Mega dan sempena kunjungan Hari Raya selama dua hari oleh Tun Salahuddin dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah ke Miri.

Turut sama meraikan hari jadi beliau pada malam kelmarin ialah 115 anak yatim dan kanak-kanak istimewa daripada tiga pertubuhan di Miri.

Kesemua kanak-kanak terbabit yang merupakan penghuni Kompleks Hamidah, Rumah Amal Anak Kesayangan Kami (RAAKK) dan Persatuan Penyayang Kanak-kanak Istimewa Miri di Lambir, turut menerima duit raya serta keperluan sekolah daripada pihak penganjur, yang disampaikan oleh Tun Salahuddin dan isteri.

Turut hadir dan meraikan sambutan hari jadi Tun Salahuddin malam kelmarin ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Mohd Naroden Majais serta isteri, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Residen Miri Antonio Khati Galis, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Lawrence Lai, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli serta Datuk Ting Ong Hua.

Sementara itu, Japri dalam ucapan alu-aluannya memberitahu bahawa majlis berkenaan merupakan hasil kerjasama erat antara Pustaka Miri dengan Hotel Mega.

Ia turut diadakan bagi memberi keceriaan kepada anak-anak yatim dan istimewa yang dijemput khas ke majlis tersebut.

“Ia adalah satu kebajikan dan penghormatan bagi anak-anak kita ini kerana mereka inilah sebahagian daripada generasi pelapis yang akan meneruskan perjuangan kita dalam mengekalkan kestabilan dan keamanan negara umumnya serta mencapai wawasan kita untuk menjadi negara maju,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda