Wednesday, August 1, 2012

Miri Berjaga-jaga! Awas Kolera di Bintulu!


Penduduk di sekitar bandar raya Miri janganlah mengambil sikap acuh tak acuh berhubung dengan wabak kolera yang sedang menular di Bintulu sekarang ini!

Walau pun belum ada kes yang dilaporkan di Miri, langkah berjaga-jaga hendaklah diamalkan selalu. Minumlah air yang sudah dimasak sahaja buat waktu ini! Amalkan kebersihan yang unggul nescaya keluarga kita selamat!
Tiada kes kolera dilaporkan berlaku di Miri: Dr Jerip
Utusan Borneo 1 Ogos 2012, Rabu



MIRI: Penduduk Miri diberi jaminan bahawa tiada sebarang kes wabak kolera dilaporkan berlaku di bandar raya ini.

Perkara ini disahkan Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil ketika dihubungi Utusan Borneo dari sini semalam.

“Saya telah menghubungi Hospital Miri berhubung kes berkenaan dan dimaklumkan tiada sebarang kes diterima setakat ini.

“Sekiranya ada sebarang kes disyaki, kami akan bertindak segera untuk melakukan pemantauan,” katanya.

Dr Jerip berkata demikian ketika dihubungi untuk mengulas berhubung aduan yang diterima pejabat akhbar ini daripada orang awam yang mendakwa terdapat beberapa kes wabak kolera berlaku di bandar raya ini.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan berhubung wabak itu. Justeru dakwaan tersebut tidak benar,” ulangnya.

Menurut beliau, setakat ini wabak berkenaan hanya dikesan berlaku di Bintulu.
Ini dipercayai bermula daripada tiga kumpulan yang menyertai regata dari Rumah Jawan, Kampung Jepak dan Kampung Hilir, Sebauh yang menggunakan air Sungai Kemena yang mengandungi bakteria kolera.

Jabatan Kesihatan juga mengesyaki kolera dikesan daripada bazar Ramadan yang melibatkan makanan dan minuman.

Bagaimanapun katanya, keadaan sekarang adalah terkawal.

Ditanya tentang tindakan yang diambil kementeriannya, Dr Jerip berkata mereka akan bekerjasama rapat dengan pihak kesihatan tempatan untuk memantau situasi di Miri untuk memastikan ia benar-benar bebas dari wabak tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam agar sentiasa peka dan mengamalkan langkah-langkah kebersihan untuk penularan wabak ini.

Sementara itu bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan bergantung kepada sumber air sungai, pastikan ia dimasak sebelum diminum dan untuk kegunaan seharian yang lain.

Pada masa sama, pastikan air yang digunakan untuk kerja-kerja membasuh adalah bersih serta tidak dicemari bakteria kolera.

- Posted using BlogPress from my New iPad

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda