Adakah UMNO akan menembusi IPTA di Sarawak? Menurut kenyataan KJ bahawa UMNO akan menebarkan sayapnya ke semua UPTA di Malaysia? Atau kenyataan ini perlu disemak semula? Adakah ini bermaksud KMU atau Kelab Menyokong UMNO akan bertapak di UNIMAS dan UiTM Kota Samarahan juga?
KJ yang sepatutnya bergerak lebih awal untuk mengambil balik undi golongan muda berkata ini adalah selari dengan pindaan AUKU! Adakah PBB atau Datuk Fadillah akan membenarkan KMU bertapak di Sarawak atau beliau akan menubuhkan Kelab Menyokong BN Sarawak? Sebelum ini apa yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO akan dimaya semula oleh Ketua Pemuda PBB! Bagaimana pula reaksi mahasiswa dan mahasitua yang kembali ke bangku pendidikan?
Adakah gerakan seumpama ini wajar atau sebaliknya?
UMNO akan tubuh kelab penyokong di setiap IPTA
Posted on August 27, 2012, Monday
REMBAU: UMNO menerusi sayap Pemudanya akan menubuhkan kelab penyokong parti itu di setiap kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini bagi meraih sokongan golongan mahasiswa terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata ia adalah langkah awal yang diambil Pemuda UMNO selari dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2012 baru-baru ini, yang kini membenarkan mahasiswa untuk telibat dan memegang jawatan dalam mana-mana persatuan dan pertubuhan termasuk parti politik.
“Jadi daripada kita menunggu mereka untuk masuk menyertai parti kita dan BN, ada baiknya kita memainkan peranan proaktif untuk turun ke kampus dan menubuhkan kelab penyokong Umno di setiap kampus,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Gadong, di sini semalam.
Katanya, Pemuda UMNO akan masuk ke setiap kampus IPTA dalam masa terdekat untuk mengadakan sesi dialog bersama mahasiswa dan merangka penubuhan kelab itu.
Katanya, selain berperanan memberi sokongan terhadap UMNO dan BN, penubuhan kelab itu juga adalah sebagai landasan untuk mahasiswa mengetengahkan pandangan dan idea mereka kepada kerajaan.
“Kita dapat banyak pertanyaan dari mahasiswa yang mana mereka mahu ada platform khas untuk mereka dan untuk menyahut permintaan tersebut, kita proaktif sebab kita tidak mahu tunggu mereka untuk menjadi ahli kita, tapi kita ke hadapan berjumpa mereka,” katanya.
Katanya, walaupun sokongan mahasiswa dilihat lebih cenderung kepada kerajaan, namun usaha sebegini perlu dilakukan bagi mengekalkan perasaan itu di kalangan mahasiswa dan memastikan mereka terus menyokong BN.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata, PAS perlu mengeluarkan kenyataan berhubung pendirian rakannya DAP yang menentang penubuhan undang-undang hudud jika Pakatan Rakyat mentadbir negara ini. Katanya, sikap PAS yang masih berdolak-dalih terhadap pendirian DAP itu hanya memburukkan keadaan dan tidak membantu menyelesaikan isu tersebut.
“Mereka perlu menjawab perkara itu, di hadapan DAP dan di hadapan rakyat kerana rakyat perlu tahu pendirian sebenar PAS,” katanya.
Lebih 5,000 tetamu hadir ke majlis rumah terbuka itu termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan. — Bernama
0 comments:
Post a Comment