Saturday, August 4, 2012

Majlis Bandaraya Miri Tamatkan Kontrak 7 Kontraktor Bermasalah!

Wang pembayar cukai tidak dipersia-siakan di Miri.  Majlis Bandaraya Miri akan sentiasa memantau perlaksanaan kontrak dan sekiranya  kontraktor didapati melanggar perjanjian tersebut maka kontrak mereka akan ditamatkan. 

Orang ramai hendaklah sedar bahawa setiap perlaksanaan projek adalah dibawah tangan kontraktor yang telah dianugerahkan oleh PBT.  Janganlah menyalahkan kerajaan semata-mata setiap kali ada projek terbengkalai kerana kerajaan telah berusaha untuk menjalankan perlaksanaan pembangunan tetapi kontraktor yang cekap sahaja yang mampu menyampaikan hasil kerja dengan sempurna.  

Semoga lebih ramai kontraktor cekap yang dipilih oleh PBT untuk melaksanakan program transformasi kerajaan kerana ini mencerminkan kecekapan mereka untuk melaksanakan amanah yang telah diberikan. 
Tujuh kontraktor ditamat kontrak

by Connie Sylvia Mesa. Utusan Borneo 4 Ogos 2012, Sabtu

TANGGUNGJAWAB: Lawrence (empat kanan) dan kakitangan MBM yang terlibat pada sesi Hari Bertemu Pelanggan di Pasar Besar Krokop di Miri, semalam.

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah menamatkan perkhidmatan tujuh kontraktor tahun ini selepas gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mengikut kontrak.

Datuk Bandar Lawrence Lai memberitahu, pihak MBM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sedemikian sekiranya kontraktor melanggar perjanjian yang telah dipersetujui.

“MBM mengambil serius terhadap isu berkenaan kerana kontraktor yang ditugaskan dibayar menggunakan duit pembayar cukai.

“Kalau mereka (kontraktor) tidak melaksanakan tanggungjawab atau memberi perkhidmatan yang tidak bagus, MBM akan menamatkan perkhidmatan mereka,” ujarnya kepada pemberita selepas sesi Hari Bertemu Pelanggan anjuran MBM di Pasar Besar Krokop 10 di sini, semalam.

Menurut Lawrence, tindakan berkenaan adalah salah satu cara untuk memperbaiki perkhidmatan MBM, termasuk perkhidmatan yang disediakan untuk orang awam melalui kontraktor yang dipertanggungjawabkan.

Sehubungan itu, katanya, MBM akan menyiarkan senarai nama kontraktor kepada umum untuk semua kawasan Miri bagi memudahkan orang awam membuat aduan atau menghubungi kontraktor yang ditugaskan mengenai perkhidmatan mereka.

“Pihak MBM masih menyusun senarai nama kontraktor tersebut. Setelah selesai, kita akan mengumumkan kepada orang awam supaya mereka mengetahui kontraktor yang dipertanggungjawabkan di kawasan masing-masing.

“Orang awam boleh berurusan dengan mereka secara terus. Tetapi, sekiranya kontraktor berkenaan gagal untuk memberikan sebarang tindak balas, orang awam perlu memaklumkan kepada pihak MBM agar diambil tindakan seterusnya,” ujarnya.

Sementara itu, Lawrence memberitahu sejumlah 24 pelbagai aduan telah diterima daripada orang awam dalam sesi Hari Bertemu Pelanggan MBM semalam.

Terdapat sepuluh aduan mengenai Kebersihan dan Penyelenggaraan, Kejuruteraan (9), Kesihatan Awam (3) dan dua aduan Landskap.

“Banyak aduan mengenai sampah sarap terutamanya sampah sarap haram. Juga terdapat aduan daripada seorang pengadu yang memberitahu jirannya menternak ayam dan itik di kawasan perumahan.

“Aktiviti ternakan tersebut adalah tidak dibenarkan di kawasan perumahan kerana ia melibatkan isu kesihatan penduduk setempat,” jelasnya.

Antara lain aduan ialah rumput yang tidak dipotong, pertanian secara haram di tepi-tepi jalan yang mengganggu pandangan pengguna jalan raya, masalah perparitan dan lain-lain.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda