Wednesday, July 18, 2012

Ahmad Ibrahim Calon Kota Samarahan Berjiwa Rakyat?

Ahmad Ibrahim sentiasa menyatakan kesudiannya untuk bertanding di kawasan yang tiada penyandang lagi iaitu Kota Samarahan.  Namun di Sibuti ada orang yang melobi untuk menjadikan kawasan Sibuti seolah-olah tiada penyandang!  

Sepatutnya untuk menjaga imej sesama PBB lebih-lebih lagi golongan belia, calon yang menyimpan hasrat untuk menggantikan kerusi Sibuti hendaklah berjumpa dengan wakil rakyat yang masih berkhidmat dan tidak berkempen secara kurang manis di kawasan yang wakil rakyatnya masih diberi mandat oleh rakyat!  Apa salahnya membuat kunjungan dan membantu sebagai pemuda PBB dan bukan sebagai calon pengganti calon PBB yang lain?

Agenda tidak manis ini akan memecah-belahkan parti dan boleh menyebabkan kerusi putih mejadi kelabu atau hitam!   Semoga calon PBB yang akan datang mengamalkan nilai-nilai murni agar lebih prihatin memberi khidmat kepada rakyat!  

Ahmad Ibrahim sedia bertanding di Kota Samarahan

Posted on July 18, 2012, Wednesday
KUCHING: Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Batu Kawah Datuk Ahmad Ibrahim bersedia mempertimbangkan untuk bertanding di Kota Samarahan, sekiranya diberikan peluang dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

“Tiada yang melobi untuk saya bertanding di Kota Samarahan tetapi terdapat rakyat di sana yang menjadikan saya dekat di hati mereka.

“Namun jika diberikan peluang, saya akan mengambilnya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Bagaimanapun, Ahmad berkata beliau tidak mengutamakan peluangnya untuk dicalonkan di situ, sebaliknya menumpukan kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan menyokong sesiapa sahaja calon yang diletakkan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa beliau sendiri serta ahli-ahli cawangannya akan memberi sokongan padu kepada calon BN di Kota Samarahan.

“Sokongan saya tidak akan berbelah bahagi kepada BN.

“Saya meletakkan BN dan PBB sebagai keutamaan sebelum memikirkan kepentingan peribadi.

“Jika kita tidak bersatu dalam BN, ini akan menyukarkan kita menghadapi PRU13 nanti,” katanya.

Ahmad menjelaskan, kesediaannya bertanding di Kota Samarahan kerana rakyat di sana telah meletakkan beliau dekat di hati mereka.

“Sebabnya ialah ayah saya dahulu pernah berkhidmat di sana dan mereka tahu caranya serta karakternya sehingga membuatkan mereka mempertimbangkan bahawa saya seperti beliau, iaitu begitu rapat dengan rakyat,” kata Ahmad menjelaskan mengenai ayahnya, Datuk Seri Ibrahim Mahmud yang pada suatu ketika dulu pernah berkhidmat sebagai superintenden polis di Serian – Samarahan.

Terdahulu, Ahmad menerima kunjungan hormat daripada ahli-ahli jawatankuasa Malam Wayang 1Malaysia di pejabatnya di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini.

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda