Thursday, July 26, 2012

Raih Sokongan Belia Untuk Kemenangan Yang Mutlak Melalui Semangat 1BN!


Undi belia adalah 'kingmaker'! Demi menyahut seruan PM untuk meraih undi belia khususnya dari sekitar kawasan Parlimen Bandar Kuching dan Stampin, maka wujudlah Malam Bersama Rakan P.195 Bandar Kuching dan P.196 Stampin.

Antara acara yang akan berlangsung adalah konvoi berkereta dan diakhiri dengan menonton wayang gambar di MBO the Spring.

Semoga ramai belia yang sudah berdaftar sebagai pengundi akan turut serta untuk menjayakan acara yng julung kali diadakan ini!

Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur yang berjuang dan menggembleng tenaga bersama dengan semangat 1BN!

Bertempur’ dengan semangat 1BN, kata Rundi
by Jessica Jawing. Utusan Borneo 25 Julai 2012, Rabu



Parti komponen tidak harus fokus kepada satu dalam perjuangan, cari cara gembleng tenaga bersama

KUCHING: Empat komponen parti Barisan Nasional (BN) Negeri diingatkan untuk ‘bertempur’ dengan semangat 1BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, parti komponen tidak harus fokus kepada satu dalam perjuangan sebaliknya mencari cara untuk menggembleng tenaga bersama.

“Apabila menghadapi pilihan raya, ramai personaliti muncul dengan pelbagai kerenah serta parti baharu yang timbul malah ada mendakwa diri sebagai mesra BN untuk mendapatkan sokongan daripada BN.

“Seperti yang anda semua maklum menerusi akhbar, apa yang berlaku kini, jika kita tidak fokus kepada satu perjuangan bagaimana dapat menggembleng tenaga bagi memastikan kita dapat berjuang,” katanya.

Menurut Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, kini bagi menghadapi pelbagai situasi yang berlaku semua parti komponen saling memerlukan antara satu sama lain, jika ingin memenangi pilihan raya akan datang.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada ahli Jawatankuasa Malam Bersama Sahabat P.195 Bandar Kuching dan P.196 Stampin (Night With P.195 and P.196 Friends) anjuran Pergerakan Wanita Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Bahagian Pending di pejabatnya di sini, semalam.

Dr Rundi menasihati ahli parti khasnya Pergerakan Pemuda dan Puteri lebih berhati-hati dalam mengatur strategi yang boleh menjadi kelemahan kepada parti sendiri.

“Dalam pilihan raya negeri terakhir, banyak yang kita harapkan terlalu awal dan ini membolehkan musuh kita membuat ramalan bagi memenangi pertarungan malah separuh daripada pertarungan sudah dimenangi mereka.

“Jadi kita mesti memastikan dengan serius bahawa kita dapat menang. Bukannya kita lemah cuma kita sendiri yang membuat diri lemah yang memudahkan pihak lawan,” katanya yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar).

Dr Rundi dalam pada itu menggesa ahli parti komponen khasnya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk meneliti pergerakan pengundi termasuk di konstituensi Batu Kawah dan Pending masa kini yang sering berubah trendnya.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola (Night With P.195 and P.196 Friends) Wendy Earnest Sadan berkata, program yang diadakan pada 29 Ogos itu nanti turut dimeriahkan dengan konvoi kereta yang disertai beberapa presiden parti komponen bermula dari ibu pejabat SPDP kemudian ibu pejabat SUPP dan berakhir di pusat beli-belah tHe Spring.

“Sehingga kini kami telah mengadakan enam mesyuarat bersama bagi menjayakan program yang berobjektifkan untuk melancarkan jentera BN bagi kedua-dua Parlimen Stampin dan Bandar Kuching.

“Program bertemakan Best Friend Forever Charity Movie Night diadakan di MBO pusat beli-belah tHe Spring di sini bermula pada jam 6.30 petang,” kata Wendy.

Hadir sama Pengerusi SPDP Bahagian Pending Athanasius Audie Chua, Ketua Pemuda SUPP Tan Kai dan Setiausaha Agung Pemuda SUPP Pusat Wilfred Yap.

- Posted using BlogPress from my iPad

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda