Sudahkah anda menempah tiket untuk balik kampung? Bak pesan ADUN kito YB Abu Seman, budaya balik kampung patut dikekalkan. Ini dapat menjadikan kita sentiasa ingat akan kampung halaman dan tahu asal usul serta adat resam kita.
Abu Seman berkata demikian semasa merasmikan Bazaar Ramadan. Beliau juga menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang berkunjung di tapak bazaar lalu berbuka puasa bersama mereka.
Kekalkan budaya balik kampung
by Khairoul Hussen. Utusan Borneo 30 Julai 2012, Isnin
SIBU: Masyarakat Islam di sini diseru mengekalkan budaya balik kampung semasa Hari Raya Aidilfitri untuk mengekalkan hubungan kekeluargaan yang sudah terjalin, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Abu Seman Jahwie.
“Walaupun ibu dan ayah sudah tiada (meninggal dunia) di kampung, kita masih mempunyai bapa saudara, emak saudara, sepupu dan rakan-rakan yang harus kita lawati bagi merapatkan ukuhwah yang telah terjalin sekian lama,” ujar Abu Seman ketika merasmikan Bazar Ramadan Persatuan Melanau Sibu di Bangunan Persatuan Melanau Sibu dekat sini, petang kelmarin.
Kata Abu Seman yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri, amalan pulang ke kampung akan mengingatkan kita tentang asal usul kita selain mempraktikkan budaya dan adab kunjung mengunjung yang sangat dituntut dalam agama Islam.
“Hari ini, dengan adanya kemudahan jalan raya yang baik dan perkhidmatan feri membolehkan kita balik ke kampung dengan mudah dan cepat.
“Jika dulu dari Sibu ke Matu terpaksa mengambil masa dua hari perjalanan darat tetapi sekarang kita dapat berulang-alik dalam satu hari sahaja,” ujarnya.
Katanya pada masa yang sama, penduduk yang tinggal di kawasan bandar boleh membantu membangunkan kawasan kampung menerusi perkongsian idea dan barangan yang mereka bawa balik.
“Mereka inilah yang akan membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan dasar terkini kerajaan yang akan memberi kesenangan kepada penduduk yang tinggal di kawasan kampung,” katanya.
Bazar Ramadan Persatuan Melanau Sibu yang dirasmikan kelmarin merupakan bazar yang julung kali dianjurkan oleh Persatuan Melanau Sibu bersama-sama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Tebu Sibu.
Menyentuh mengenai penglibatan Persatuan Melanau Sibu dalam beberapa program yang mereka anjurkan termasuk menjayakan Pesta Kebudayaan Borneo baru-baru ini, Abu Seman memberitahu, kehadiran pengunjung bukan satu faktor utama tetapi yang paling penting adalah kemahuan kita untuk menganjurkan program tersebut atau tidak.
“Tidak kiralah apa warna seekor kucing itu, yang pentingnya kucing itu pasti mampu menangkap tikus.
“Yang paling utama sesebuah persatuan adalah bergerak dan mengadakan apa-apa program yang patut, keahlian serta pengunjung akan datang kemudian,” katanya yang juga penaung kepada Persatuan Melanau Sibu.
Pada majlis yang sama, Abu Seman turut diberi penghormatan untuk menyampaikan sumbangan kepada 24 anak yatim sebelum melawat ke tapak bazar dan seterusnya berbuka bersama ahli Persatuan Melanau Sibu dan hadirin yang lain.
0 comments:
Post a Comment