Stadium Mini Bekenu adalah untuk dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. Kini, acara sukan baik peringkat sekolah akan dapat diadakan di tempat yang sesuai.
Bukan itu sahaja, lebih banyak lagi aktiviti olahraga dapat dianjurkan di Stadium Mini Bekenu kelak. Kelab-kelab Olahraga tempatan bakal muncul umpama cendawan tumbuh lepas hujan dan diharap ini akan memberi peluang kepada anak tempatan untuk memenangi pingat emas bagi negeri Sarawak dalam acara sukan seperti Sukan Malaysia kelak.
Siapa sangka berkat berdirinya Stadium Mini Bekenu akan lahir seorang lagi atlet terkemuka negara yang bakal mengharumkan nama Bekenu ke peringkat antarabangsa!!
Stadium Mini Bekenu dibina tahun depan
Utusan Borneo, 17 Julai, 2012, Selasa
MIRI: Projek pembinaan Stadium Mini Bekenu yang menelan belanja kira-kira RM2 juta akan dilaksanakan selewat-lewatnya pertengahan atau hujung 2013.
Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, setakat ini kerja-kerja melukis reka bentuk dan anggaran kos pembinaan stadium mini tersebut masih dalam proses perbincangan.
“Kami menjangkakan projek ini akan dimulakan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan atau akhir tahun depan dan ia bakal menjadi salah satu mercu tanda pembangunan Bekenu,” katanya ketika ditemui petang kelmarin.
Ahmad Lai memberitahu, meskipun projek ini telah diluluskan dan dimasukkan dalam penggal pertengahan rancangan pembangunan negeri, namun kos pembinaan stadium itu dijangka meningkat.
“Berikutan harga bahan binaan semakin meningkat, kami menjangkakan kos pembinaan stadium mini ini lebih daripada RM2 juta dan ia menempatkan pelbagai kemudahan lain,” jelasnya.
Menurutnya lokasi atau tapak stadium mini seluas tiga ekar itu sudah ada dan hanya menunggu reka bentuk yang sesuai sebelum kerja-kerja pembinaan dilaksanakan.
“Saya berharap apabila stadium ini siap kelak, ia akan merancakkan lagi perkembangan sukan khasnya di sekolah-sekolah menengah dan rendah di Parlimen Sibuti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan meluangkan masa menyaksikan perlawanan terakhir Liga Bola Sepak Petronas Miri 2012 antara pasukan PDRM menentang Higlanders di Stadium Miri.
Pada perlawanan tersebut, PDRM secara rasmi ditabalkan juara baharu Piala Petronas selepas membelasah Higlanders dengan jaringan 9-0.
Selaku juara, PDRM menerima wang tunai RM5,000 bersama piala pusingan Petronas, piala iringan dan pingat sementara naib juara (FBSB FC) menerima RM3,000, piala iringan dan pingat.
Sementara itu, tempat ketiga milik DESB Marine yang menerima wang tunai RM1,000, piala iringan dan pingat manakala Miri Seahorse XI sekadar di tempat keempat liga.
Hadir sama ialah Pengurus Petronas Wilayah Sarawak Nor Azam Abang Zawawie, Eksekutif Kanan Petronas Wilayah Suffian Sabeli, Timbalan Residen Abdul Aziz Mohd Yusuf, Naib Presiden FAS Sazali Abdul Rahman, Pengerusi Persatuan Bola Sepak Miri (PBM) Harifen Mansor dan Setiausaha PBM Mohd Saif.
- Posted using BlogPress from my New iPad
0 comments:
Post a Comment