Tuesday, July 31, 2012

Tun Razak Exchange (TRX) Mercu Tanda Terbaru KL!


Semalam Tun Razak Exchange telah dilancarkan sebagai pusat kewangan dan ikon terbaru di Kuala Lumpur.

Ia akan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan dan bakal menempatkan 250 syarikat global. Semoga Sibuti akan mengecapi mercu tanda yang baru satu hari kelak!
Mercu tanda terbaru KL
Oleh Kamarulzaidi Kamis, Nazura Ngah dan Shahrizan Salian


Tun Razak Exchange: Ikon komuniti perniagaan, tarikan pelbagai aktiviti ekonomi

Kuala Lumpur: Tun Razak Exchange (TRX) yang dilancarkan semalam bakal menjadi mercu tanda baru Kuala Lumpur sebagai peneraju pusat kewangan, perdagangan dan perkhidmatan antarabangsa.
Ia juga menjadi tarikan pelbagai aktiviti ekonomi yang memberi hasil berganda, selaras tekad kerajaan menjadikannya ikon untuk komuniti perniagaan berinteraksi dan pusat pertemuan moden bagi penerokaan peluang pelaburan baru mencecah sehingga RM26 bilion.

Projek yang sebelum ini dikenali Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD), membabitkan kawasan 28.3 hektar berhampiran Bulatan Kampung Pandan di Jalan Tun Razak dan mengunjur sehingga Jalan Raja Chulan. Pemaju induk projek adalah 1Malaysia Development Bhd (1MDB)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata apabila siap, ia dijangka menempatkan lebih 250 syarikat global terkemuka serta menyediakan 500,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.

“Idea KLIFD kini bertukar kepada sesuatu yang lebih besar dan inklusif. Tun Razak Exchange adalah kawasan bagi peluang pelaburan baru. Ia menampilkan reka bentuk terbaik di peringkat antarabangsa serta prinsip perancangan yang progresif. Bangunan dan infrastrukturnya akan mematuhi paras kemampanan tertinggi.

Sambung dengan MRT

“Ia juga akan disambungkan dengan pengangkutan awam, termasuk transit aliran massa (MRT),” katanya pada majlis pelancaran dan pecah tanah projek itu.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin serta Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB mengumumkan pelantikan pasukan petugas khas untuk memantau pembangunan TRX sehingga projek itu beroperasi sepenuhnya.

Diketuai EPU

Ia diketuai oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri dan dipengerusikan Nor Mohamed serta dianggotai pegawai kanan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan agensi berkaitan.

Pasukan itu akan memastikan TRX mendapat sokongan menyeluruh daripada jentera kerajaan pada setiap masa, iaitu dari perancangan dan pembangunan sehingga siap sepenuhnya serta beroperasi.

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan bursa itu menjadi kenyataan dan sebagai langkah pertama saya mengumumkan bahawa kita akan memulakan satu semakan semula peraturan perniagaan secara komprehensif,” katanya.

- Posted using BlogPress from my New iPad

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda