Thursday, July 26, 2012

Hak Memilih Kerajaan Terletak Di Tangan Rakyat-Ahmad Lai


Bilangan pengundi di P.218 Sibuti setakat ini adalah 27,451 orang berdasarkan data akhir bulan Jun 2012. Ini adalah peningkatan yang ketara daripada 22,143 orang pada 2008. Namun demikian, usaha untuk mendaftar pengundi baru masih giat dijalankan di sekitar parlimen Sibuti.

Untuk mendaftar kini memerlukan salinan myKad dan boleh dibuat terus di Pejabat Pos Malaysia dan juga di Pusat Khidmat Masyarakat P.218 di Piasau, Pejabat PBB Bekenu dan Pejabat PBB Lambir.

Selagi gong PRU13 belum dipalu kemungkinan besar mereka yang mendaftar sehingga September ini akan layak mengundi pada PRU13 kelak. Tawaran masih terbuka untuk mereka yang berusia 21 tahun dan juga mereka yang belum lagi berdaftar sebagai pengundi! Undilah untuk masa hadapan anak cucu kita kelak!
Jentera Pilihan Raya Parlimen Sibuti terus pergiat usaha daftar pengundi baharu
Utusan Borneo 25 Julai 2012, Rabu



MIRI: Jentera Pilihan Raya Parlimen Sibuti akan terus mempergiatkan usaha mendaftar pengundi baharu berikutan pertambahan jumlah penduduk yang layak mengundi di konstituensi terbabit.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata setakat ini, pihaknya telah mendaftar kira-kira 3,000 pengundi baharu menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah lebih 27,000 pengundi.

“Kami masih mengharapkan jentera pilihan raya kami melancarkan gerakan besar-besaran untuk mendaftarkan bilangan pemilih baharu seterusnya memilih kerajaan akan datang,” katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau memberitahu, hak memilih kerajaan terletak di tangan rakyat dan mereka tidak seharusnya mempersia-siakan peluang untuk menentukan kerajaan yang bakal membela nasib mereka kelak.

“Jangan bersikap tunggu dan lihat sebaliknya mereka yang berusia 21 tahun dan layak mengundi harus mendaftarkan diri sebagai pemilih kerana satu undi mampu mengubah nasib mereka,” ujarnya.

Jumlah pemilih bagi kerusi Parlimen Sibuti pada Pilihan Raya Umum 2008 adalah seramai 22,143 orang dan sejak itu, jumlah pemilih baharu yang berdaftar di kerusi terbabit terus bertambah.

“Ia adalah hasil kesedaran orang ramai tentang hak mereka sebagai pemilih dan kami berharap jumlah ini akan terus meningkat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, menerusi kesinambungan pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial, beliau yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) akan kekal mentadbir rakyat untuk jangka masa yang panjang.

“Saya yakin menerusi sentuhan emas kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, rakyat akan terus memberi mandat dan kepercayaan kepada BN pada PRU13,” katanya.

Ahmad Lai juga menaruh keyakinan akan menang sekali lagi dengan majoriti yang lebih besar berikutan sokongan tidak berbelah bahagi penduduk Sibuti kepadanya selama ini.

“Saya telah turun padang lebih satu penggal dan rakyat Sibuti sudah mengenali saya dan mereka dapat menilai apa yang dilakukan saya sebagai wakil rakyat kepada peningkatan taraf hidup mereka,” katanya.

Pada PRU 2008, Ahmad Lai (BN) menang dengan majoriti 3,648 undi selepas meraih undi keseluruhan 8,238 menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi Michael Teo Yu Keng yang hanya meraih 4,590 undi.

- Posted using BlogPress from my iPad

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda