Wednesday, July 25, 2012

Bekas Wakil Rakyat BN Harus Membantu BN Menjelang PRU13!


Masir Kujat menyeru bekas pemimpin veteran BN untuk memberi sokongan padu kepada BN dan bukan sebaliknya. Beliau merujuk kepada bekas ADUN Pelagus, Larry Sng, bapa beliau, Sng Chee Hua, bekas ADUN Pelagus dan bekas Ahli Parlimen Julau, Jawah Gerang, bekas Ahli Parlimen Lubok Antu dan Donald Lawan, bekas ADUN Bukit Bengunan.

Mereka ini cuba memburukkan calon BN dan terus menentang BN melalui parti SWP dan juga Bebas. Masir berpendapat mereka ini mempunyai kepentingan peribadi untuk berbuat demikian!

Mereka ini juga cuba memfitnah kerajaan dan terus menidakkan pembangunan untuk rakyat. Masir juga menasihat Tuai-tuai Rumah untuk tidak membiarkan perasaan anti-BN ini menular dikalangan anak buah mereka, ini kerana perkara sedemikian sudah acapkali terjadi setiap kali PRU13 menjelang tiba! Ingatlah kerajaan BN harus menepati janji mereka dan begitu juga wakil rakyat BN yang lain.

Pemimpin veteran BN jangan pentingkan diri
by Edwin Raoh. Utusan Borneo 25 Julai 2012, Rabu.


UNTUKMU: Masir (empat kanan) menerima cenderamata daripada Tuai Rumah Philiy pada majlis itu. Turut kelihatan (dari kiri) Hendery Cassidy, Noor Hayati, Murni dan Welton.

SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat menasihati beberapa pemimpin veteran yang sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan kini bertindak menentang kerajaan BN agar melupakan hasrat mereka itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Masir berkata demikian merujuk kepada barisan pemimpin seperti Datuk Sng Chee Hua, Jawah Gerang dan Donald Lawan yang ketika ini sibuk berceramah sama ada di rumah panjang mahupun di pekan dengan mengajak rakyat menentang kerajaan BN.

“Sng dan Jawah daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP) manakala Donald pula daripada Bebas harus menghentikan perbuatan mereka itu.

“Sebaliknya mereka bertiga ini yang pernah menjadi wakil rakyat BN sebelum ini harus membantu BN menaik taraf hidup rakyat bukannya mengajak rakyat menentang BN,” katanya.

Masir berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Komuniti Bestari dan Kepenggunaan di Rumah Philly Enche, Entulang Jambatan, Sri Aman, di sini, semalam.

Program itu adalah anjuran Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (PDNKK) Bahagian Sri Aman, Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman dan JKKK Rumah Philley.

Pada majlis itu Masir mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) RM10,000 kepada Rumah Philily dan RM3,000 kepada Biro Wanita rumah panjang berkenaan.

Sng merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus dan Ahli Parlimen Julau, Jawah adalah bekas Ahli Parlimen Lubok Antu selama lima penggal manakala Lawan adalah bekas ADUN Bukit Begunan.

Selain itu beliau juga menasihati para tuai rumah di kawasan Parlimen Sri Aman agar berhati-hati dengan tindakan segelintir pihak yang sedang meracuni pemikiran rakyat menerusi kempen yang dilancarkan mereka ketika ini.

Tuduhan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak yang kurang bertanggungjawab terhadap dirinya selama ini adalah palsu belaka, tegas beliau.

“Itu satu taktik mereka untuk mengalihkan sokongan rakyat terhadap saya (BN).

“Perkara seperti ini akan sentiasa berlaku acapkali menjelang pilihan raya demi kepentingan politik mereka sendiri.

Sehubungan itu Masir berharap rakyat di Parlimen Sri Aman meneruskan sokongan padu mereka kepada kerajaan pimpinan BN demi masa depan hidup mereka nanti.

Turut hadir dalam majlis itu Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Cassidy Morris, Pegawai JASA Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi, Penolong Jurutera Jabatan Saliran dan Perparitan Sri Aman Henry Tuah, wakil Ketua Pejabat PDNKK Sri Aman Maruni Langga dan wakil Pejabat Residen Sri Aman Noor Hayati Ahmad.

- Posted using BlogPress from my iPad

0 comments:

Post a Comment

Baca Blog Dalam Facebook Anda